Piala Dunia: KJ Minta Peminat Bola Sepak Bersabar


KOTA KINABALU - Rakyat Malaysia diminta bersabar untuk melihat pasukan negara beraksi di kejohanan Piala Dunia pada masa akan datang.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mencuba sehabis baik dalam merealisasikan impian itu menerusi pembangunan akar umbi tersusun yang sudah dijalankan empat tahun lalu.

Menurutnya, semua pihak perlu memberi peluang kepada kementeriannya dan barisan pimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baru sahaja mengambil alih pentadbiran pada bulan Mac lalu.

"Ini akan mengambil sedikit masa kerana sistem pembangunan akar umbi tersusun yang baru sahaja dimulakan empat tahun lalu di bawah pembangunan bola sepak negara serta kepimpinan FAM baru sahaja diambil alih pada bulan Mac tahun ini.

"Jadi kita kena sabar dan tunggu generasi yang baru dibangunkan dengan sitem serta pendekatan ini sampai ke peringkat dewasa untuk kita melihat lonjakan dari sudut prestasi Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meluangkan masa hampir dua jam dalam program dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diadakan di Dewan Tapak Warisan Monsopiad, Penampang, petang tadi.

Terdahulu, Khairy dalam ucapannya di program berkenaan ada menyentuh mengenai aspirasi untuk membawa skuad bola kebangsaan untuk layak ke kejohanan Piala Dunia yang diakui antara misi yang sukar dalam TN50.

"Saya rasa misi ke Piala Dunia paling susah dalam TN50, saya rasa kereta terbang lebih mudah tetapi kita akan cuba yang terbaik.

"Kalau dulu berbanding Jepun kita lebih hebat tapi sekarang mereka akan layak ke kejohanan itu," katanya.

Sumber: Astro Awani