PM, Isteri Harungi Banjir Di Permatang Pauh


BUKIT MERTAJAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bersama menteri kabinet hari ini turut mengharung air banjir setinggi paras betis di kawasan Parlimen Permatang Pauh.
Beliau meninjau pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Surau Kampung Tanjung Putus yang menempatkan 150 keluarga.
Najib kemudian berjumpa dan beramah mesra dengan mangsa banjir di situ serta menyampaikan sumbangan barang keperluan kepada mereka.
Selepas itu perdana menteri bergerak ke Masjid Nyior Sebatang, di Tasek Gelugor untuk melawat mangsa banjir di situ.
Najib yang tiba pada pukul 12.05 tengah hari diiringi Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.
Sementara itu, Mohd Zaidi ketika ditemui pemberita berkata secara keseluruhannya perdana menteri berpuas hati dengan bantuan yang disalurkan oleh agensi dan jabatan kerajaan kepada mangsa banjir di negeri ini.
"Perdana menteri berpuas hati dengan jentera UMNO dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang ke depan membantu masalah rakyat," katanya.
Beliau berkata bantuan makanan kepada mangsa-mangsa banjir mencukupi, bagaimanapun terdapat kekurangan dari segi barang keperluan lain seperti bantal dan cadar tebal (Toto) kepada mangsa banjir di kawasan Parlimen Permatang Pauh.
Justeru, Mohd Zaidi berkata perdana menteri akan menyalurkan sumbangan bantal dan Toto itu kepada 3,000 mangsa banjir di kawasan Parlimen Permatang Pauh.
Perdana Menteri sebelum itu diberi taklimat mengenai perkembangan banjir di Pulau Pinang di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah. - Kedahnews.com