Polis Kesan Dua Lelaki Baling Bom Petrol


KUALA LUMPUR - Polis sedang mengenal pasti dua lelaki yang dipercayai  mencampakkan satu bom petrol (molotov cocktail) ke dalam kawasan surau di Damansara Damai, Petaling Jaya di sini ketika jemaah sedang menunaikan solat Subuh pada pagi Ahad lepas.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, kesemua jemaah yang sedang menunaikan solat Subuh dilaporkan selamat kerana bom tersebut tidak meletup.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

“Dua lelaki yang menaiki motosikal dipercayai membaling botol arak yang berisi minyak petrol ke arah surau berkenaan. Identiti suspek masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan,”  katanya  dalam kenyataan semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api.

Kejadian tersebut disedari salah seorang jemaah surau yang baharu selesai menunaikan solat Subuh apabila melihat kesan terbakar pada pintu masuk surau tersebut. - Bernama