Polis Sik Tangkap 9 Lelaki Miliki, Terlibat Dadah


ALOR SETAR - Ibu Pejabat Polis Daerah Sik, Kedah telah berjaya menahan sembilan lelaki warga tempatan berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun dipercayai terlibat dengan dadah dalam satu Ops Jihad Dadah Bersepadu yang diadakan semalam.

Operasi yang bermula pada jam 12 tengah hari hingga jam 7 petang itu melibatkan beberapa kawasan di daerah tersebut seperti Kampung Desa Jaya, Kampung Bonggol dan Kampung Kubang Lintah.

Ketua Polis Daerah Sik, DSP Abdull Razak Osman berkata, anggotanya membuat serbuan dari rumah ke rumah serta di kawasan yang dikenalpasti sebagai tempat penagih melepas gian.

Tambahnya, serbuan serentak turut dilakukan di kawasan sempadan antara Sik dan Padang Terap yang mana turut melibatkan anggota polis daripada IPD dan  anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Padang Terap.

"Dalam tempoh tersebut beberapa tangkapan dan rampasan telah berjaya dilakukan, dengan seramai sembilan orang lelaki warga tempatan,

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas iaitu Heroin sebarat 233.5 gram dan Syabu seberat 20.0 gram yang mana nilai keseluruhan dianggarkan RM5,500 serta berupaya dibekalkan pada 1,000 orang penagih pada satu-satu masa. " ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sik, hari ini.

Serbuan yang disertai 25 orang pegawai serta anggota polis dari pelbagai cawangan itu turut mendapat kerjasama AADK Sik.

Pihak polis bertindak diatas maklumat risikan dan hasil daripada maklumat orang ramai yang diterima melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Sementara itu, kesemua suspek kini ditahan reman di lokap IPD Sik bagi membantu siasatan dan mencari punca bekalan dadah dan ketum diperolehi. - Kedahnews.com