Pos Malaysia Keluar Setem Khas Charles, Camilla


KUALA LUMPUR - Siri setem memaparkan wajah Putera Wales, Putera Charles dan Duchess Cornwall, Camilla Parker Bowles yang dikeluarkan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dijangka mendapat sambutan hangat sebagaimana penjualan siri setem dan filateli khas sempena Jubli Intan Ratu Elizabeth II dan lawatan Diraja Duke, Putera William dan Duchess of Cambridge, Kate Middleton ke Malaysia yang dikeluarkan pada 2012.

Ketua Unit Filateli dan Setem Pos Malaysia Diyana Lean Abdullah berkata, maklum balas yang diterima daripada pengumpul setem juga memberangsangkan meskipun siri setem bersempena lawatan sulung Putera Wales dan Duchess Cornwall ke Malaysia pada November 2017 hanya akan berada di pasaran Jumaat ini.

“Kalau dulu ketika Pos Malaysia mengeluarkan siri setem dan filateli khas sempena Jubli Intan Ratu Elizabeth II dan lawatan Diraja Duke dan Duchess of Cambridge ke Malaysia pada 2012 menyaksikan satu suasana yang luar biasa di mana ramai pengumpul setem dan peminat Putera William dan Kate Middleton membanjiri Pos Malaysia hingga terpaksa beratur panjang. Kali ini kami menjangkakan keadaannya lebih hebat.

“Memfokuskan mengenai siri terbaru ini, ia menampilkan dua keping setem dengan reka bentuk wajah Putera Wales (RM1) dan Duchess Cornwall (RM1). Siri setem ini amat terhad keluarannya di mana hanya akan ada 250,000 keping setem bagi setiap satu reka bentuk yang akan dihasilkan pada kali ini. Justeru, kami menggalakkan pengumpul setem dan orang ramai untuk mendapatkan siri istimewa ini,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurut Diyana, pihaknya turut mengeluarkan 40,000 keping Lembaran Mini (LM) yang menampilkan wajah kedua-dua pasangan diraja itu dan LM boleh dibeli pada harga RM6.

Sumber: MyMetro