PUCUK pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini ibarat sedang mengejar 'keretapi laju antara Padang Besar, Perlis - ke Gemas, Johor.
Berdasarkan perlembagaan rasmi parti, mesyuarat cawangan perlu dibuat dalam masa 14 hari dan setiap bahagian perlu mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) dalam tempoh 60 hari sebelum persidangan agung pusat dapat dijalankan.
Agaknya bilakah tarikh persidangan agung parti (AGM) dapat dijalankan sekiranya semua 159 bahagian (seperti didakwa) perlu mengadakan mesyuarat terlebih dahulu.
"Bila agak-agaknya boleh dilaksanakan? Apakah sehingga tahun 2050?" tanya bekas Penyelaras PPBM Parlimen Kluang, Arjuna Putra Ali dalam satu kenyataannya semalam.
Setakat ini, ujar beliau sebanyak 358 aduan berhubung kegagalan pucuk kepemimpinan PPBM mematuhi ketetapan parti telah dikemukakan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) oleh 26 bahagiannya di Johor setakat 20 November lalu.
Angka yang dikemukakan oleh itu sekali gus menidakkan penafian dibuat Ketua Bahagian PPBM Ledang, Mohd. Solehan Badri kononnya tidak ada isu aduan daripada lapan bahagian PPBM Johor terhadap pucuk kepemimpinan parti.
Arjuna malah memberitahu, Ahli Jawatankuasa Bahagian PPBM Ledang, Zaharuddin Mat Isa yang sebelum ini merupakan setiausaha bahagian itu sendiri telah menandatangani aduan rasmi ke ROS termasuklah isu berkaitan ketua penaja proksi.
Pada 1 November lalu, Arjuna Putra bersama beberapa kepemimpinan PPBM Johor mengemukakan aduan kepada ROS berhubung kegagalan pucuk pimpinan PPBM mematuhi ketetapan perlembagaan parti itu.
Kesemua lapan Bahagian PPBM negeri Johor yang mengemukakan aduan itu adalah Bakri, Kluang, Semberong, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Ledang, Batu Pahat dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Semberong.
Sementara itu timbul dakwaan bahawa terdapat cubaan oleh beberapa pemimpin dalam PPBM yang sengaja mahu membiarkan parti itu dibatalkan pendaftarannya oleh Jabatan ROS dengan niat meraih belas kasihan rakyat.
Bekas Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada)PPBM , Mohamad Taufik Abas mendakwa, wujud kemungkinan perkara itu berlaku selepas ada pemimpin berpengaruh dalam PPBM merasakan mereka sukar dan belum cukup bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.
Dalam perkembangan yang sama pemimin PAS terus menyindir Pengerusi Pakatan Harapan dan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila menyalahkan ROS kerana pendaftaran PH 'tersangkut.'
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Dr. Mahathir tidak sepatunya menyalahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan berikutan kegagalan pendaftaran gabungan yang diketuai DAP itu.
Dr. Mahathir sepatutnya menyelesaikan masalah dalaman Parti Pribumi Bersatu terlebih dahulu yang dilihat sebagai punca utama kegagalan pendaftaran tersebut, kata Tuan Ibrahim.
"Hendak daftar (Pakatan Harapan) tidak lulus kemudian marah kepada ROS. Bagaimana hendak lulus mesyuarat agung PPBM jika hanya dihadiri 12 orang," katanya ketika berucap sempena Ceramah Perdana Pasca Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Perasmian Bilik Operasi Pilihan Raya Pas kawasan Kota Bharu semalam. - Kedahnews.com