Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terus berkecamuk setelah semakin ramai pemimpin dan ahli meninggalkan parti.
Terbaru Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Batu Gajah, Mohd Shirin Adenan mengumumkan keluar parti bersama 18 anggota jawatankuasanya Selasa lalu.
Mohd Shirin berkata keputusan itu dibuat selepas kecewa dengan perjuangan dan hala tuju PPBM Perak yang diketuai Ahmad Faizal Azumu.
Katanya peletakan jawatan secara beramai-ramai itu juga sebagai tanda protes sekaligus memberi kesedaran kepada pimpinan tertinggi parti supaya lebih peka terhadap masalah dalaman PPBM Perak.
"Pelantikan Faizal Azumu sebagai Pengerusi PPBM Perak benar-benar membuka mata kami bahawa PPBM tidaklah sebaik seperti yang kami sangkakan.
"Ketiadaan pengalaman menerajui sebuah parti baharu, selain hubungannya yang sangat terbatas, membuatkan PPBM Perak seperti sekumpulan anak ayam kehilangan ibu," katanya dalam sidang media di Pejabat PPBM Bahagian Batu Gajah, Perak
Mohd Shirin berkata selain isu kepimpinan, kegagalan mengesahkan status pendaftaran Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) PPBM sebagai sayap parti turut menjadi penyebab tindakan drastik itu dibuat.
Katanya, tiada sebarang penjelasan khusus diberikan oleh pimpinan tertinggi PPBM berkaitan perkara itu dan ia menimbulkan pelbagai persoalan kepada setiap anggota parti terutama di peringkat bahagian.
Dua bulan lepas Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Oman dan bekas Ketua Srikandi, Anina Saaduddin turut meninggakan parti kerana hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan parti itu. -Kedahnews.com