PPD Sedia Bantu Calon SPM Di Kedah


ALOR SETAR - Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bersedia untuk membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terbabit dengan banjir di Kedah dan meminta mereka memaklumkan kepada pihaknya sekiranya memerlukan pusat penempatan sementara.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, beliau tidak mahu persediaan dan fokus pelajar menghadapi SPM terjejas akibat banjir.

"Sekiranya pelajar memerlukan penempatan sementara bagi persediaan menduduki SPM, saya minta mereka memaklumkan kepada PPD masing-masing untuk kita sediakan sekolah atau asrama,

"Kita tidak mahu disebabkan masalah banjir yang berlaku di beberapa kawasan di negeri menjejaskan persediaan pelajar dalam menghadapi peperiksaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bermesyuarat bersama beberapa agensi di Kuala Muda bagi membincangkan masalah banjir di daerah itu di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai, petang semalam.

Selain itu, beliau mendakwa bagi calon SPM di Parlimen Merbok, pihaknya akan menyediakan inap desa atau hotel bagi menempatkan pelajar terjejas banjir buat sementara waktu.

"Saya sudah meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk memaklumkan pelajar yang terbabit dalam banjir di Parlimen Merbok.

"Kejadian banjir kali ini adalah yang terburuk yang pernah berlaku di sini sehingga mengakibatkan kerosakan infrastruktur di kawasan ini," katanya. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai berkata, penduduk di kawasan itu yang menerima bekalan air dari Loji Tupah turut terputus bekalan air disebabkan banjir.

"Kerja baik pulih loji dijangka siap selewat-lewatnya 6 petang esok dan kita meminta Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd membekalkan tangki air di penempatan mangsa banjir," jelasnya. - Kedahnews.com