PPM Langkawi Tahan Nelayan Edar Dadah Di Kuala Kedah


ALOR SETAR - Seorang nelayan disyaki pengedar dadah ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi menerusi Ops Landai di sebuah pelantar ikan di Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah, Alor Setar, pada Sabtu.

Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, serbuan itu dilakukan jam 6.10 petang dan telah menahan lelaki tempatan berusia 43 tahun.

Ujar beliau, hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek berasal dari Kuala Kedah itu menemui satu kilogram serbuk putih disyaki heroin dianggarkan bernilai RM16,000.

"Dadah berkenaan dibungkus dalam plastik dan dibalut dengan suratkhabar sebelum diletakkan dalam topi keledar.

"Kita juga menemui wang tunai lebih RM1,000 yang disyaki hasil jualan dadah berkenaan selain ujian saringan air kencing suspek didapati positif morfin," katanya pada sidang media di Markas Taktikal Polis Marin Kuala Kedah, semalam.

Tambah Rosman, hasil siasatan lanjut mendapati dadah itu dibekalkan kepada nelayan dan suspek menggunakan pelantar di kawasan Kuala Kedah sebagai port untuk menjual dadah.

"Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang disyaki membeli dadah di kawasan itu untuk membantu siasatan dan menemui satu tiub straw dadah bersamanya.

"Dengan tertangkapnya suspek kita yakin menumpaskan sindiket pengedaran dadah di kawasan ini (Kuala Kedah) dengan jumlah rampasan terbesar setakat ini.

"Suspek memperoleh bekalan dadah itu di sekitar kawasan utara dan dipercayai aktif sebagai pengedar dadah sejak dua tahun lalu," katanya yang dipetik dari MyMetro.

Beliau berkata, kes tersebut diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dan disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Sejak operasi ini dimulakan dua tahun lalu kita berjaya mengurangkan hampir 300 penagih yang ditahan bersama dadah dalam milikan mereka.

"Kita akan teruskan operasi ini dari semasa ke semasa untuk membanteras sindiket pengedaran dadah di kawasan tumpuan," ujarnya.- Kedahnews.com