PROGRAM Jualan Ikan Segar Dengan Harga Patut yang digerakkan Gabungan NGO Malaysia dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) di beberapa lokasi di Selangor sejak Oktober lalu ternyata cukup istimewa di hati rakyat.
Dalam erti kata lain, tidak keterlaluan jika dikatakan rakyat Selangor kini menanti-nanti bila Datuk Seri Jamal Md. Yunos selaku penggerak utama program itu mahu ke kawasan mereka untuk menjual makanan laut tersebut.
Jika tidak mendapat sambutan, masakan ikan segar sebanyak lima tan dan ayam sebanyak empat tan, licin dalam masa kurang tiga jam, selain orang ramai sendiri sanggup beratur panjang seawal pukul 7 pagi.
Maka, sebab itulah tidak hairan apabila sudah ada pemimpin Pakatan Harapan di Selangor yang panas punggung apabila rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman politik, kaum dan agama berpusu-pusu menyerbu program berkenaan.
Episod tersebut dapat dilihat di Shah Alam minggu lalu apabila Program Jualan Ikan Segar Dengan Harga Patut itu ‘dilawati’ anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selepas mendapat aduan daripada wakil rakyat Pakatan Harapan.
Lebih penting daripada persoalan itu, program murni tersebut berjaya mematahkan cubaan Pakatan Harapan yang diketuai DAP untuk memburuk-burukkan Kerajaan Persekutuan dalam isu kenaikan harga barang di negara ini.
Ini kerana, walaupun dianggap sesetengah pihak sebagai satu pendekatan radikal, tetapi mahu tidak mahu mereka perlu mengakui ia memberi impak besar kepada rakyat dari semua golongan khususnya dalam soal penjimatan perbelanjaan harian.
Malah Jamal sudah membuktikan bahawa, harga ikan seperti ikan kembung yang rata-ratanya dijual RM16 sekilogram, cencaru (RM9 sekilogram), manakala ikan sardin (RM11 sekilogram) tiada sebarang kaitan dengan kerajaan.
Kenaikan itu disebabkan manipulasi harga oleh orang tengah dan sebagai buktinya Jamal mampu menjual pelbagai jenis ikan dengan harga semurah RM5 sekilogram.
Justeru, satu persoalan perlu dilontarkan kepada Kerajaan PKR Selangor iaitu jika program tersebut baik untuk rakyat dan berupaya pula menafikan segala fitnah sebelum ini, mengapa mahu diganggu-gugat.
Tindakan seperti takut pada bayang-bayang sendiri itu sebenarnya hanya menunjukkan kelemahan kepemimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin dan beliau perlu sedar, rakyat kini sedang menilai.
Sumber: Utusan Online