Projek Loji Jana Kuasa Terbesar Negara Beroperasi 2021


KUALA LUMPUR - Loji jana kuasa terbesar negara yang terletak di Alor Gajah, Melaka dijangka mula beroperasi pada tahun 2021.

Menurut Ketua Pegawai Operasi, Edra Power Holdings Sdn. Bhd., Datuk Mohamad Nor Ali, projek loji kuasa turbin gas kitaran bergabung yang mampu menjana 2,242-megawatt (MW) itu berjalan mengikut jadual.

"Kapasti 2,242 MW bermakna anda boleh menyalakan 10 peratus keperluan elektrik negara," katanya.

Tenaga yang dihasilkan oleh jana kuasa ini akan dibekalkan kepada grid kebangsaan.

"Pada asasnya, kami hanya mempunyai satu pelanggan, Tenaga Nasional Bhd. Kami telah memperoleh perjanjian pembelian kuasa jangka panjang selama 21 tahun mulai tarikh operasi komersial kami pada 2021," katanya.

Beliau menambah, syarikat itu memulakan kerja awal pada Mac tahun ini dan hari ini, tapak itu siap untuk pembinaan, dan berada pada kedudukan yang baik, dan pada asasnya sebulan lebih awal daripada jadual.

Mengenai pembiayaan projek itu, beliau mengesahkan Edra Power menggunakan tiga bank tempatan untuk mengumpul dana sebanyak RM5.28 bilion menerusi program sukuk untuk projek berbilion ringgit berkenaan.

"CIMB Investment Bank ialah penasihat utama dan penasihat kewangan manakala Maybank Investment Bank dan RHB Investment Bank masing-masing merupakan pengurus utama bersama untuk program hutang," katanya, hari ini.

Beliau berkata, projek itu akan dibiayai menerusi 80 peratus penjanaan pembiayaan hutang dan 20 peratus melalui dana pemegang saham Edra Power.

Keseluruhan kos projek itu ialah kira-kira RM6.5 bilion," katanya.

Tapak projek kini sudah 90 peratus siap untuk pembinaan.

Edra Power, pengeluar kuasa bebas kedua terbesar Malaysia, merupakan kumpulan pengeluar tenaga bersih terkemuka di Asia Tenggara yang memberi tumpuan kepada penjanaan tenaga gas.

Ia dimiliki sepenuhnya oleh China Solar Energy Investment Ltd., anak syarikat China General Nuclear Power Corp. Ltd. - BERNAMA