Proton-Geely Bakal Manfaatkan Vendor Sedia Ada


KUALA LUMPUR – Usaha sama antara pembuat kereta tempatan, Proton, dan syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group (Geely), akan memanfaatkan vendor syarikat berkenaan yang ketika ini berjumlah lebih 230 syarikat, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata melalui usaha sama berkenaan, Geely menyasarkan untuk meningkatkan jualan Proton kepada 500,000 unit setahun dalam masa 10 tahun.

“Dengan meningkatnya penjualan kereta Proton kepada 500,000 setahun sudah tentunya perniagaan mereka (vendor) akan berkembang,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) berkenaan usaha kerajaan untuk membina kapasiti dengan adanya perjanjian antara Proton dan Geeely serta mengembangkan dan memberi peluang kepada vendor-vendor Proton sedia ada.

Tahun lepas, jualan Proton berjumlah lebih kurang 72,000 unit.

Menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) mengenai jaminan kerajaan kepada pekerja dan vendor Proton berikutan usaha sama Proton dan Geely itu, Ahmad berkata pekerja Proton sedia ada tidak akan dibuang malahan terdapat perancangan untuk meningkatkan bilangan pekerja kepada 20,000 orang dalam masa 10 tahun.

Katanya Geely juga merancang untuk menambah bilangan vendor Proton di samping meningkatkan keupayaan vendor sedia ada bagi mengeluarkan produk yang lebih berkualiti. – Bernama