Pulau Pinang Mesti Patuhi Peraturan Pihak Berkuasa Sebelum Lulus Projek Pembangunan - PM


TASIK GELUGUR - Kerajaan Pulau Pinang mesti mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan pihak berkuasa sebelum memuluskan sebarang projek pembangunan di negeri itu.
Peringatan itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengelakkan berlakunya kejadian bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.
"Sebarang projek pembangunan yang mahu dilakukan itu mesti ikut peraturan kerana jangan sama sekali menjejaskan alam sekitar dan boleh menyebabkan akan berlaku keadaan yang lebih buruk lagi, " kata Najib.
Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, kerajaan Persekutuan akan berbincang dengan kerajaan Pulau Pinang untuk melihat perkara tersebut.
" Apa yang lebih penting kita perlu utamakan ialah keselamatan dan kebajikan rakyat," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Agama Rakyat Ar Ridwan di sini hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Sementara itu Najib berkata kerajaan negeri juga perlu mengambil kira pandangan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) terhadap kerajaan Pulau Pinang agar membatalkan pembangunan berisiko di lereng-lereng bukit negeri ini,
Jika pandangan itu NGO itu  memberi kebaikan kepada semua pihak, ia juga perlu diambikira, kata Perdana Menteri lagi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyatakan berpuas hati dengan peranan yang dimainkan semua pihak seperti kerajaan negeri termasuk agensinya yang bekerjasama erat dengan kerajaan pusat dalam menangani keadaan banjir ini.
"Terjemahan kerjasama erat ini adalah baik sehingga mampu menangani masalah banjir ini dengan tersusun.
"Semua pihak bekerja sepanjang masa untuk membantu mangsa-mangsa banjir dan perkara ini turut diakui Ketua Menteri, Lim Guan Eng," katanya.
Menurut beliau, hubungan baik itu antara semua agensi, kerajaan negeri dan kerajaan Pusat merupakan contoh terbaik yang perlu diikuti semua pihak di negara ini ketika berlakunya bencana.
Beliau berkata dalam taklimat yang diberikan kepadanya, kerajaan negeri memerlukan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk melaksanakan 13 projek besar dan kecil dalam soal menangani bencana.
"Bagaiamanapun kerajaan pusat telah meluluskan sebanyak RM150 juta dalam projek pembinaan tebatan banjir bagi fasa ketiga Lembangan Sungai Pinang," katanya.
Dalam perkembangan yang sama Najib menegas bahawa kerajaan Persekutuan sama sekali tidak akan menganaktirikan Pulau Pinang dan akan tetap menyalurkan bantuan seperti yang diberikan kepada Kelantan.
"Kita akan lihat keadaan kewangan kita untuk membantu kerajaan negeri bagi melaksanakan projek-projek ini," kata Perdana Menteri.
Menurut beliau lagi  apa yang menyebabkan banjir besar berlaku, selain akibat taburan hujan yang lebat, ia juga boleh dikaitkan dengan sikap manusia.
"Hujan sehari pada Ahad lalu itu menyamai dengan sebulan hujan," katanya.
Najib juga berkata keadaan bencana sekarang sudah bertukar akibat perubahan cuaca dan kadang-kadang sukar dijangka seperti banjir ini di negeri ini.
"Kita juga tidak terlepas daripada bencana seperti yang berlaku di luar negara dan sebagai sebuah kerajaan kita akan memberi jaminan untuk melindungi rakyat kita," katanya.
"Saya yakin rakyat juga akan turut membantu agar tidak memburukkan lagi keadaan," katanya.
Pada majlis itu juga Rosmah yang juga Yang Dipertua Pandu Puteri Malaysia menyampaikan bantuan sebanyak RM50,000 kepada mangsa banjir dan RM60,000 kepada Majlis Keselamatan Negara Pulau Pinang.
Sementara itu Perdana Menteri juga melawat mangsa banjir di Kampung Tanjung Putus, Permatang Pauh, di sini.
Beliau diiringi Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong, Anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said. - Kedahnews.com