Pusat Bersalin Berisiko Rendah Kini Disedia Di Hospital Alor Setar


ALOR SETAR - Kementerian Kesihatan telah menubuhkan sebuah Pusat Bersalin Berisiko Rendah (LRBC) di Hospital Alor Setar yang sudah mula beroperasi 1 Oktober lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata, LRBC ditubuhkan sebagai satu langkah mengurangkan kesesakan di hospital.

"Sebanyak 23 peratus pesakit di hospital berkaitan kehamilan, malah ada yang sehingga 30 peratus menyebabkan ia sesak dan tidak cukup katil.

"Melalui pemerhatian kita, 70 peratus pesakit bersalin secara normal,” ujarnya.


Menurutnya, LRBC turut menyediakan kakitangan bertugas berpengalaman, kemudahan mencukupi untuk membuat saringan di mana mereka boleh bersalin dalam suasana sihat dan selamat.

"LRBC Alor Setar yang menelan belanja RM860,000 adalah yang ketiga selepas Hospital Putrajaya dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang," jelasnya.

LRBC Alor Setar mula beroperasi 1 Oktober lalu mempunyai empat katil untuk pesakit sebelum bersalin dan dua bilik bersalin serta ruang menunggu yang selesa. - Kedahnews.com