Pusat Lulus RM150 Juta Untuk Projek Tebatan Banjir Lembangan Sg. Pinang


PULAU PINANG - Kerajaan pusat telah meluluskan sebanyak RM150 juta untuk melaksanakan projek pembinaan tebatan banjir bagi fasa ketiga Lembangan Sungai Pinang dan sedia menimbangkan peruntukan yang lebih besar untuk melaksanakan 13 projek besar dan kecil bagi menanggani bencana.di Pulau Pinang.
.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan negeri bagaimanapun memerlukan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk melaksanakan projek tebatan bajir itu.

Walaupun begitu, Najib berkata kerajaan Persekutuan sama sekali tidak akan menganaktirikan Pulau Pinang dan akan tetap menyalurkan bantuan seperti yang diberikan kepada Kelantan.

"Kita akan lihat keadaan kewangan kita untuk membantu kerajaan negeri untuk melaksanakan projek-projek ini," kata Perdana Menteri pada sidang media selepas melawat pusat penempatan mangsa banjir di Tasik Gelugor hari ini.

Sementara itu  jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Pulau Pinang meningkat kepada 7,294 orang daripada 1,774 keluarga tengah hari ini berbanding 6,080 mangsa membabitkan 1,572 keluarga pagi tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir polis berkata setakat pukul 12 tengah hari ini, kesemua mereka ditempatkan 50 pusat pemindahan yang terdapat di empat daerah di negeri itu.

"Sejumlah 4,032 mangsa banjir ditempatkan di 22 pusat pemindahan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan 3,163 orang di 26 pusat pemindahan di Seberang Perai Tengah (SPT).

"Bagi daerah Seberang Perai Selatan (SPS) setakat tengah hari ini, terdapat enam mangsa dan 21 orang di daerah Timur Laut masing-masing hanya tinggal satu pusat pemindahan," katanya. - Kedahnews.com