Putera Charles Dan Camilla Akhiri Lawatan 7 Hari Di Malaysia


GEORGE TOWN – Prince of Wales, Putera Charles dan isteri Camilla, Duchess of Cornwall berangkat pulang hari ini setelah menamatkan lawatan rasmi tujuh hari ke Malaysia.

Pasangan diraja itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kira-kira 11 pagi dan melintasi pasukan kawalan kehormat, sambil dipayungi kerana hujan gerimis.

Putera Charles dan Camilla kemudian berlepas ke India dengan pesawat Tentera Udara Diraja British pada 11.27 pagi.

Menteri Pengiring Datuk Seri S. K. Devamany yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Farizan Darus, Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang dan pegawai kerajaan negeri yang lain berada di lapangan terbang untuk mengiringi keberangkatan pulang baginda berdua.

Putera Charles dan Camilla tiba di Kuala Lumpur Khamis lepas sempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom.

Selain Kuala Lumpur, pasangan diraja itu turut melawat Sarawak, Perak dan Pulau Pinang sepanjang lawatannya dari 2 hingga 8 Nov.

Baginda berdua tiba di Pulau Pinang pada petang Isnin dan melawat beberapa tempat ibadat di kawasan warisan di sini serta Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth semalam.

Pasangan diraja itu kemudian menghadiri Resepsi Alumni Sandhurst di sebuah hotel di sini dan mengakhiri lawatan ke negeri ini dengan menghadiri Resepsi Muzium Peranakan Pulau Pinang di Church Street.

Kunjungan Putera Charles dan Camilla ke Malaysia adalah sebahagian daripada rangka lawatan 11 hari ke Singapura, Malaysia dan India dari 30 Okt hingga 9 Nov, bertujuan mengukuhkan hubungan antara Britain dan Asia.

Kerabat Diraja British yang melawat Malaysia sebelum ini termasuk Ratu Elizabeth II dan Duke of Edinburgh yang menghadiri upacara pembukaan rasmi Sukan Komanwel ke-16 di Kuala Lumpur pada 20 hingga 23 Sept 1998 serta lawatan oleh Putera William dan Kate Middleton, Duke dan Duchess of Cambridge pada Sept 2012. – BERNAMA