‘Puteri Raja’ Dijel Kerana Pengubahan Wang Haram


KUALA LUMPUR – Seorang wanita kerdil yang mendakwa dirinya ‘puteri Sultan Pahang’ dihukum penjara tiga tahun lagi oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini semalam atas lapan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2,841,690.

Hakim Mohamad Kamil Nizam menjatuhi hukuman itu ke atas Rohaida Yahil, 41, bekas eksekutif insurans, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding perbicaraan kes itu, semalam.

Pada Mac lalu wanita itu dihukum penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas 53 pertuduhan menipu pakar bedah kosmetik Datuk Dr Abdul Jalil Jidon.

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan terhadap Rohaida dan memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak serta hukuman itu bermula selepas dia selesai menjalani hukuman penjara tiga tahun bagi kes menipu.

Mengikut pertuduhan pertama, Rohaida didakwa memperoleh wang ke dalam akaun simpanan CIMB Bank Berhad cawangan Ampang Point miliknya melalui transaksi berjumlah RM3,400 daripada akaun simpanan Maybank milik Khuzairiah Abdul Latiff, 40.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan kedua hingga kelapan, dia dituduh memperoleh wang ke dalam akaun simpanan CIMB Bank Berhad miliknya daripada Khuzairiah dan Mohd Ghazali Othman, 45, melalui 284 transaksi berasingan yang kesemuanya berjumlah RM2,838,290.

Tujuh pertuduhan itu dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram itu atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank cawangan Ampang Point, No.23, Jalan Mamanda 7/1, Wisma Ampang Triangle, Jalan Ampang di sini antara 28 Ogos 2014 hingga 22 April 2016.

Ketika rayuan Rohaida yang diwakili peguam Shamsul Sulaiman memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan dengan alasan anak guamnya benar-benar insaf dengan perbuatannya dan memohon maaf kepada Dr Abdul Jalil yang menjadi mangsa dalam kes itu.

“Rohaida memohon berbanyak maaf kepada pakar bedah kosmetik, Datuk Dr Abdul Jalil Jidon atas perbuatannya, tak mungkin dia dapat membayar balik wang Datuk Jalil. Dia amat insaf dan meminta maaf pada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Puteri baginda, Tengku Aishah kerana telah menyalah guna nama-nama mereka (untuk mendapatkan wang daripada Dr Jalil),” katanya.

Peguam itu turut memberitahu ibu bapa Rohaida bercerai ketika dia masih bayi dan ekoran latar belakang keluarganya itu Rohaida merasa rendah diri, kekurangan kasih sayang dan menagih simpati daripada persahabatan dengan memberikan rakan-rakan wang hasil penipuannya yang akhirnya memakan diri.

Rohaida yang berada di kandang tertuduh tidak mampu menahan kesedihan dan dilihat menangis teresak-esak semasa peguamnya membuat rayuan. Anggota keluarga Rohaida juga tidak kelihatan di mahkamah semalam.

Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Liyana Shahrir memohon mahkamah menjatuhi hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh mengambil kira kes pengubahan wang haram yang semakin berleluasa dan tertuduh telah menyebabkan kerugian yang besar kepada mangsa selain telah menggunakan nama-nama besar termasuk Sultan Pahang.

Pada 14 Mac lalu, Rohaida dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini atas 53 pertuduhan menipu Dr Abdul Jalil, 60, untuk mempercayai dia adalah puteri Sultan Pahang bagi memperdaya mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM1.203 juta kepadanya.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 13 Mac lepas. – BERNAMA