Rafizi Akui Pengurusan Felda Lebih Baik Di Bawah Shahrir


Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang kerap menyerang FELDA, mengakui agensi itu jauh lebih baik apabila diterajui Tan Sri Shahrir Abd Samad.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, soal sama ada boleh atau tidak orang politik di dalam agensi berkaitan kerajaan, ia  memang  sukar dijawab. Ini soalan yang tidak ada hitam putih.

“…Tetapi apabila orang politik buat salah macam di dalam FELDA (sebelum ini) ia berpotensi heret negara dan peneroka melihat yang tidak baik pada FELDA terutama soal kewangan yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi  menjawab mengenai  pandangannya sebelum ini supaya FELDA tidak ditadbir oleh orang politik sebaliknya oleh mereka yang pakar di dalam bidang berkaitan agensi itu menerusi program Bicara Bajet 2018 terbitan RTM, pada Rabu.

Program itu menampilkan beliau bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim yang bertanggungjawab hal ehwal FELDA manakala moderatornya Datuk Dahlan Maamor.

Tambah Rafizi lagi, tata kelola FELDA sepatutnya diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawb bukan kepada orang politik yang mencari populariti  serta memberi projek.

Razali ketika menjawab isu itu berkata, beliau setuju dengan sebahagian pandangan Rafizi berkenaan kecekapan tadbir urus.

“ (Ini) Bukan sebab orang politik atau tidak (di dalam agensi kerajaan) tetapi (masalahnya) apabila mereka hilang fokus.

“Sebab itu, Tan Sri Shahrir (Pengerusi FELDA) minta ahli lembaga pengarah (Felda Invesment Corporation  Sdn Bhd– FIC) meletak jawatan, kemudian lantik (yang baru), ada wakil FELDA, Kementerian Kewangan dan akauntan.

“Kemudian perlu orang politik untuk bantu tadbir urus yang lebih baik. Tan Sri Shahrir bawa FELDA balik ke asal.  Beliau tidak jadi pengerusi FGV atau FIC supaya ketelusan dan tadbir urus bertambah baik,” jelas Razali lagi.

Tegas beliau, Shahrir hanya menjaga FELDA supaya ujud tata kelola yang lebih baik dan pengerusi FELDA itu sedang membaiki dan menyusun semula agensi sejak Februari lalu.

“Kita juga pelawa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) siasat. Siapa yang salah, tangkaplah. Sekarang, kita tidak mahu tuduh sesiapa. Matlamat kita, mahu buat yan terbaik dan beri manfaat kepada peneroka,” katanya.

Sumber: BNBBC