Rakan Kongsi Dakwa Haris Baba Menganiaya?


BARU-BARU ini dikatakan pelakon dan penyanyi Harris Baba didakwa telah menganiaya seorang bekas rakan kongsinya iaitu Ammar Fikri.

Khabarnya, mereka dalam proses untuk menjalankan sebuah perniagaan menjual aksesori telefon secara atas talian.

Menurut Ammar, artis kelahiran Singapura itu telah menyebarkan cerita yang tidak benar mengenainya di laman sosial.


Menurut entri tersebut, Harris menyatakan lelaki di dalam gambar (Ammar) telah ‘melesapkan’ duitnya dan menggunakan kontrak palsu semasa berurusan dengannya.

“Sudah empat hari dan anda masih belum memulangkan duit baki saya. Anda kata anda tidak guna duit saya, tapi saya dengar sebaliknya.

“Tolong berhati-hati jika dia ada menawarkan apa-apa rancangan perniagaan. Kontraknya tidak sah. Dia mendakwa kontrak itu daripada peguam, tetapi tiada nama atau syarikat guaman tersebut,” tulisnya di Instagram.

Menurut Ammar, berita yang disebarkan itu tidak betul. Sebelum ini mereka berdua telahpun bersetuju untuk bekerjasama membuka sebuah perniagaan aksesori telefon. Persetujuan tersebut dilakukan secara lisan.

“Menerusi perbincangan tersebut, masing-masing bersetuju dengan pecahan modal sebanyak 60 peratus dan 40 peratus daripada jumlah keseluruhan RM10,000. Bermaksud, saya laburkan RM6,000, manakala Harris sebanyak RM4,000.


“Dia telah membuat pembayaran bahagiannya pada 23 November lalu ke dalam akaun bank saya. Pada masa yang sama, saya memaklumkan kepadanya akan memasukkan bahagian saya dalam tempoh tiga hari iaitu pada Isnin, 27 November.

“Keesokan harinya, kami bersetuju untuk merakamkan sebuah klip video bagi mempromosikan perniagaan yang bakal dijalankan. Malah, dia turut terlibat secara langsung dalam rakaman itu,” katanya dipetik sebuah akhbar tempatan.

Namun, Harris mendakwa Ammar telah gagal memasukkan wang tersebut ke dalam akaun dan mendesak untuk pulangkannya semula.

Menurut Harris lagi, Ammar gagal untuk menunjukkan bukti transaksi pemindahan wang sekaligus membuatkannya untuk membatalkan sahaja kerjasama tersebut.

“Sehingga ke hari ini (26 November), apabila diminta bukti pembayaran ke dalam akaun, dia gagal menunjukkan sebarang transaksi. Jadi, dari situ saya rasa ada yang tidak kena.

“Disebabkan itu, saya memintanya agar memulangkan semula duit yang telah dilaburkan kerana wujud keraguan terhadapnya,” jelasnya.

Bagaimanapun, Ammar menafikan dakwaan Haris itu.

Oleh kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan, dia terpaksa akur dengan permintaan Harris dan memulangkan baki duit yang telah digunakan untuk klip video tersebut.

“Jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan adalah sebanyak RM1,300. Maka dibahagi dengan dua, saya dan Harris perlu membayar sebanyak RM650 setiap seorang.

“Jadi, saya telah pulangkan semula RM3,350 kepadanya selepas menolak kos perbelanjaan. Namun, Harris tetap tidak berpuas hati. Memang saya bercadang untuk melunaskan kesemuanya dan meminta masa sehingga semalam,” ujarnya.

Pemuda 20 tahun ini kemuadiannya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis kerana berasa dirinya pula dianiaya!

Tambahnya lagi, tindakan pelantun suara bagi lagu Katakan itu turut mencemarkan nama baiknya sekaligus menjejaskan reputasinya sebagai seorang usahawan muda.

Haih, macam-macam. Apa-apa pun, selesaikan secara baik di luar pengetahuan umum ya! - Kedahnews.com