Rakyat Johor Lebih Pentingkan Perumahan Daripada 'Jambatan Bengkok Mahathir'


SEORANG Ahli Majlis Tertinggi UMNO mendedahkan tentang ego dan dendam peribadi adalah punca Pengerusi Pakata Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad terus menyerang Datuk Seri (DS) Mohd Najib Razak walaupun terpaksa berbohong kepada rakyat.

Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dalam kenyataanya semalam berkata, antara serangan terbaharu Dr. Mahathir ialah  mengenai Bajet 2018 dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM )yang dicemuh sebagai gula gula untuk menggembirakan rakyat.

Puad  antara lain menulis: Mungkin Tun M masih obses dengan pendekatan lamanya “crony capitalism” iaitu “mengkayakan” beberapa individu dan individu kaya ini diharap akan mengagihkan kekayaan itu kepada orang lain.

Sedangkan BRIM adalah subsisidi bersasar yang meluas dan efektif berbanding subsidi petrol yang orang kaya pun dapat. Bayangkan duit BRIM berjumlah RM6.8 bilion bukan sahaja membantu meringankan beban kos hidup rakyat tetapi akan merancakkan ekonomi domestik.

Dasar mengkayakan individu itulah punca setelah 22 tahun memerintah Tun M masih obses untuk mencampuri urusan pentadbiran dua Perdana Menteri selepasnya.

Satu daripadanya ialah isu pembinaan “Jambatan Bengkok” yang dibatalkan oleh Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi).  Tun M mahu ia dibina semula oleh DS Najib.

Tidak lama setelah Najib menjadi Perdana Menteri, saya telah dihubungi oleh orang kanan Tun M iaitu Datuk Malik Mydin perenang sensasi negara yang berenang sejauh 32KM dari Dover England ke Calais Perancis. Pertemuan itu berlaku di Restoren Nasi Kandar Yassin Jalan Tunku Abdul Rahman.

Datuk Malik menyampaikan salam Tun M. Dia menjelaskan bahawa Tun M mahu berjumpa jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Johor yang diketuai oleh TS Ghani Othman. Saya adalah bekas Setiausaha Politik TS Ghani Othman dan juga bekas Ketua Penerangan UMNO Johor. Dia minta jasa baik saya untuk mengaturkan pertemuan tertutup itu.

TS Ghani setuju. Pertemuan itu diadakan di Hotel Pullman Putrajaya. Tetapi Datuk Malik menyampaikan pesanan Tun M, iaitu dia tidak mahu Tan Sri Shahrir Samad hadir sama. Dia berdendam dengan Shahrir. TS Shahrir Samad dimaklumkan mengenai permintaan Tun M itu. Kecuali TS Muhyiddin dan Shahrir Samad, semua ketua bahagian hadir termasuk Syed Hamid Albar dan Azalina Othman.

Dalam pertemuan itu Tun M menyatakan dia telah berjumpa Datuk Najib dan meminta supaya membina semula jambatan bengkok yang dibatalkan oleh Pak Lah.

Tun M memaklumkan kepada kami, Najib tidak ada masalah dengan syarat orang Johor sendiri yang mahukannya. Justeru Tun M berharap UMNO Johor setuju dan ini boleh ditafsir sebagai sokongan penuh rakyat Johor kepada pembinaan semula jambatan bengkok.

TS Ghani ( Abdul Ghani Othman bekas Menteri Besar) berjanji kepada Tun M untuk membawa cadangan itu bagi mendapatkan persetujuan dalam mesyuarat Perhubungan UMNO.

Tetapi ia tidak pernah dibincang dalam mesyuarat UMNO Johor dan secara tidak langsung UMNO Johor menolaknya. Antara puncanya, terdapat di kalangan ahli berpendapat jika diluluskan maka kontrak akan diberikan kepada syarikat sama Gerbang Perdana iaitu kroni Tun M.

Syarikat milik Datuk Yahya Jalil ini telah dibayar pampasan tinggi bila Pak Lah membatalkan projek tersebut. Sebab itu ia dianggap pembaziran kalau mahu disambung semula apatah lagi ia bukan lagi projek mendesak.

Lagi pun TS Shahrir Samad sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru pernah menyatakan, Johor Bahru lebih memerlukan projek perumahan rakyat dan mampu milik bukannya jambatan bengkok.

Maka bukan DS Najib yang menolaknya tetapi UMNO Johor yang tidak menyokong kerana ada keutamaan lain.

Justeru dasar crony capitalism Mahathir sebenarnya ditolak sendiri oleh rakyat Johor.

Ternyata Najib menggembirakan rakyat. Mahathir berduka kerana Najib tidak melayan dasar 'crony capitalism' nya. Sebab itu dia berdendam dengan Najib. Mahathir, berhentilah berbohong. -Kedahnews.com