Penyokong Kedah Mahu Polis Siasat Tuduhan Rasuah


PENYOKONG pasukan bola sepak Kedah, Zulkifli Hashim membuat laporan polis mengenai dakwaan pemain dan jurulatih menerima rasuah sebelum pertandingan akhir Piala Malaysia antara Kedah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lalu.

Zulkifli berkata, dia terkejut dan kecewa apabila mengetahui dakwaan itu melalui rakannya jam 11 malam semalam, mengenai mesej berbaur fitnah disebarkan pihak tidak bertanggungjawab sehingga tular.

“Sebagai penyokong yang bertanggungjawab dan cintakan pasukan Kedah, saya tampil membuat laporan polis bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap berita yang membawa imej negatif untuk pasukan.

“Saya kecewa dengan tohmahan tidak berasas ini dan mahu pihak bertanggungjawab menyiasat perkara ini supaya kebenaran dapat diketahui seluruh penyokong Kedah,” katanya ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Yan, Kedah hari ini.

Menurutnya, selain itu, maruah jurulatih dan pemain akan tercalar jika ada yang mempercayai berita negatif seperti ini di media sosial.

“Saya mewakili penyokong Kedah berharap perkara ini dapat disiasat dengan segera dan telus untuk membersihkan imej Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) daripada persepsi negatif oleh penyokong.

“Saya juga mahu pihak yang terbabit dengan tuduhan berkenaan disoal siasat mengenai kesahihan maklumat ditularkan ini,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial mendakwa jurulatih dan tujuh pemain Kedah menerima sogokan RM200,000 setiap seorang sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan Kedah bertemu JDT.

Sumber: MyMetro