Redah Hujan Demi Sokongan


SHAH ALAM - Hujan sejak pagi tadi tidak menjadi halangan buat penyokong Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk hadir lebih awal ke Stadium Shah Alam bagi menyaksikan final Piala Malaysia, malam ini.

Tinjauan seawal jam 10 pagi menunjukkan kenderaan penyokong kedua-dua pasukan sudah mula memenuhi kawasan persekitaran stadium berkenaan.

Malah segenap sudut jalan di kawasan berhampiran stadium mula 'diisi' dengan penyokong yang meletakkan kenderaan masing-masing di bahu jalan.

Pastinya, kumpulan yang lebih awal sampai ke stadium adalah kumpulan penyokong yang datang dari Kedah dan Johor yang tidak sabar menyaksikan pertarungan kedua-dua pasukan itu.


Turut kelihatan deretan bas yang membawa penyokong Harimau Selatan dan Helang Merah yang sudah pun sampai terutamanya di kawasan parkir berhampiran Stadium Melawati.

Sementara menantikan perlawanan berlangsung, ada dalam kalangan penyokong tidur dalam kenderaan masing-masing selepas menempuhi perjalanan beratus kilometer ke stadium berkenaan sejak semalam.

Seperti kelazimannya, kemeriahan setiap perlawanan akhir dapat disaksikan menerusi kreativiti penyokong yang menghias kenderaan dengan bendera atau pun menampal logo pasukan bagi mencerminkan sokongan penuh terhadap pasukan masing-masing.

Sumber: MyMetro