RM13 Juta Duit Maksiat Disita Terbesar Sejarah Imigresen


TELOK KEMANG – Jabatan Imigresen berjaya merampas wang tunai lebih RM13 juta dalam Ops Gegar, operasi membanteras kegiatan tidak bermoral di Kota Kinabalu, Sabah, awal pagi semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali ketika mengesahkan perkara tersebut berkata, kira-kira RM11 juta dijumpai dalam bilik di sebuah hotel manakala lebih RM1 juta lagi di sebuah rumah di bandar raya itu.

Katanya, rampasan ini adalah yang terbesar dalam sejarah jabatannya.

“Semasa operasi itu, kita telah menemui sejumlah wang tunai yang disembunyikan dalam plastik dan sampul, dan ada sebahagian yang terdedah kerana jumlah terlalu banyak.

“Empat lelaki termasuk seorang warga Negara Filipina yang dipercayai sebagai dalang dalam kegiatan tidak bermoral itu telah ditahan semasa operasi tersebut,” katanya pada sidang media pagi tadi.

Beliau berkata, dalam operasi itu, seramai 17 wanita warga negara Filipina telah diselamatkan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk menentukan wang tunai itu milik siapa dan untuk tujuan apa.

“Saya inginkan tegaskan di sini bahawa kita komited untuk memutuskan rantaian kesalahan daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai Imigresen Gred KP19 Siri 4 Tahu 2017 di Akademi Imigresen Malaysia.

Sumber: Sinar Harian