RM1j Untuk Perkembangan Industri Harumanis Perlis


ARAU – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta khusus bagi perkembangan industri mangga harumanis di Perlis.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata peruntukan berkenaan akan diguna antaranya untuk penambahbaikan saliran, tanaman dan keperluan logistik bagi meningkatkan produktiviti serta pemasaran harumanis.

“Sebelum ini sudah ada peruntukan, tapi untuk tahun ini tidak banyak… Kita juga akan lihat mungkin ada peruntukan tambahan yang boleh disalurkan (untuk industri harumanis), misalnya mungkin ada bajet daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Memperkasakan Harumanis 2017, di Universiti Teknologi Mara Perlis di sini, semalam.

Beliau berkata pihaknya juga akan berusaha mendapatkan peruntukan kewangan tambahan khusus untuk penyelidikan bagi meningkatkan kualiti ikon kebanggaan Perlis itu.

Katanya kajian khusus harus dilaksanakan kerana harumanis mempunyai keistimewaan serta nilai eksotika tersendiri dan buah berkenaan merupakan jenama negara yang perlu dikembangkan.

“Jika kita lihat perkembangan industri mangga di negara jiran seperti Thailand, mereka mempunyai bistro khas mangga yang mempunyai bekalan mangga sepanjang tahun.

“Oleh itu pihak berkaitan mungkin mahu menimbangkan usaha untuk menghasilkan pengeluaran harumanis sepanjang tahun atau mahu kekalkan harumanis sebagai buah bermusim,” kata Ahmad Shabery.

Bagaimanapun beliau berkata keputusan sama ada untuk menghasilkan harumanis sepanjang tahun mahu pun tidak, terletak kepada hasil perbincangan sepanjang bengkel itu berlangsung semalam.

“Mungkin juga mereka mahu harumanis kekal sebagai buah bermusim untuk mengekalkan eksotikanya, jadi terpulang kepada bengkel untuk memutuskannya,” katanya.

Dalam pada itu, isu mengenai harga harumanis yang dikatakan terlampau tinggi iaitu RM30 hingga RM50 sekilogram, beliau berkata perkara berkenaan bukan sesuatu yang membimbangkan kerana harumanis merupakan buah ekslusif di negeri ini. - Bernama