Safiq Tetap Kapten Harimau Malaya


KUALA LUMPUR - Kedudukan Safiq Rahim sebagai kapten Harimau Malaya tidak terjejas biarpun dibayangi kontroversi kerana mengeluarkan kata-kata kesat selepas tamat final Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Nelo Vingada menyifatkan perbuatan bintang tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sebagai satu kesilapan yang tidak disengajakan dan mengingatkan Safiq agar tidak mengulanginya.

Pengendali kelahiran Portugal itu juga menegaskan, pemain berusia 30 tahun tersebut tetap watak penting buat Malaysia apabila menentang Korea Utara dalam dua aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand pada 10 dan 13 November ini biarpun digantung satu perlawanan.

“Mungkin disebabkan terlalu gembira sehingga dia secara tidak sengaja mengeluarkan kata-kata sebegitu. Perbuatan itu memang salah tetapi pemain profesional lain di peringkat antarabangsa juga pernah melakukan kesilapan seperti ini.

“Jadi bagi saya...dia perlu belajar daripada kesilapan dan tidak mengulangi lagi,” ujarnya kepada pemberita.

Dalam video yang berdurasi hampir seminit itu, Safiq dilihat seperti melepaskan geram kepada pengkritik bola sepak yang dianggap membenci JDT apabila secara tiba-tiba menjerit dengan mengeluarkan kata-kata kesat: “...all the haters **!Gua champion sekarang...**. Lepas ini kau tengoklah!”.

Video berkenaan tular di laman sosial hingga mengundang kritikan daripada penyokong, malah beberapa legenda bola sepak tanah air turut menyarankan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar mengambil tindakan tegas terhadap bekas pemain Selangor tersebut.

JDT merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2017 selepas menumpaskan Kedah 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam hasil jaringan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Gonzalo Cabrera.

Sumber: Utusan Online