PESERTA Miss Universe 2017 iaitu Samantha Katie James tampil mempertahankan gaun 'nasi lemak daun pisang' yang menjadi tular sejak ia diperkenalkan kepada umum Selasa lalu.
Samantha, 22, berkata, dia menyifatkan gaun rekaan pereka fesyen, Brian Khoo itu sebagai sesuatu yang kreatif dan dia juga berbangga bakal memperagakan pakaian itu pada pertandingan yang bakal diadakan di Las Vegas, Amerika Syarikat penghujung bulan ini.
"Saya berbangga dengan busana itu kerana ia rekaan yang sangat kreatif daripada Brian dan kebetulan saya memang meminati hasil kerjanya.
"Siapa terfikir untuk jadikan nasi lemak sebagai inspirasi dalam menghasilkan sehelai gaun yang cantik dan unik," katanya.
Samantha ditemui pada majlis tayangan perdana Filem Televisyen (FTV) iaitu Wanita Terindah yang diadakan di GSC Pavilion Kuala Lumpur pada malam Rabu.
Pemenang Miss Malaysia Universe itu mengulas kritikan negatif orang ramai mengenai busana tersebut yang disifatkan sebagai tidak sesuai untuk digayakan ke pertandingan besar seperti Miss Universe.
Dalam pada itu, Samantha mengakui penularan mengenai busana itu telah memberi publisiti meluas bukan sahaja mengenai pertandingan bakal disertainya itu malah dirinya sendiri.
Bagaimanapun komen negatif tidak memberi kesan kepadanya malah kerana ada cabaran lebih besar menantinya apabila menyertai pertandingan itu nanti.
"Baik atau buruk sesuatu publisiti itu ia tetap publisiti. Itu adalah hakikatnya.
"Tetapi kita perlu tahu untuk tidak mengendahkan komen tidak membina dan sejujurnya ia tidak menggangu saya pun," jelasnya.
Sementara itu, Samantha berkata, dia yakin gaun 'nasi lemak daun pisang' itu akan menjadi topik perbualan hangat pada pertandingan Miss Universe 2017 kerana belum pernah ada peserta tampil dengan pakaian bertemakan makanan.
"Tidak kisah apa orang hendak katakan, saya yakin ia akan menjadi perhatian dan perbualan nanti.
"Paling penting saya selesa menggayakan gaun itu dan kena yakin pada acara itu nanti," katanya.
Dalam perkembangan lain, Samantha berkata dia teruja diberi peluang berlakon dalam Wanita Terindah kerana dia memang meminati bidang lakonan.
Malah katanya, selepas selesai pertandingan Miss Universe 2017 dia berharap dapat bergiat aktif sebagai pelakon dan menyasarkan untuk mengembangkan karier lakonan di Hollywood.
"Wanita Terindah sebenarnya filem ketiga lakonan saya selepas Kastil Tua bersama Josiah Hogan dan sebuah filem berbahasa Mandarin untuk pasaran negara China.
"Saya suka cuba sesuatu yang baharu dan pengalaman berlakon dalam FTV ini adalah pengalaman yang baik untuk saya," katanya.
Selain Samantha, ia turut membariskan pelakon seperti Fattah Amin, Nur Fazura, Liza Othman, Redzuan Hashim, Adam Mika dan Sarah Hildebrand.
Ia disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif bermula2 November.
Sumber: Mstar Online