SEPANG - Datuk Lee Chong Wei mengakui, pernah dilabel sebagai ‘orang tua tidak berguna’ selepas mengharungi lapan bulan tanpa kejuaraan, malah terkilan kerana orang yang sebelum ini selalu memujinya tiba-tiba menjadi pengkritik gara-gara kemerosotan prestasi yang dialami.
Justeru, kejayaan menjuarai Terbuka Hong Kong buat kali kelima semalam bukan sahaja memulihkan semangat dan keyakinannya tetapi juga membuktikan kepada pengkritik bahawa dia bukanlah ‘orang tua tidak berguna’ seperti yang mereka canangkan selama ini.
Bekas jaguh badminton No. 1 dunia itu juga menegaskan, dia akan terus beraksi selagi belum ada pemain Malaysia yang mampu mengalahkannya kerana perlu menggalas tanggungjawab besar dalam beberapa kejohanan utama, terutama pada tahun 2018 yang cukup mencabar.
“Sewaktu saya melalui detik-detik sukar, ramai orang yang sebelum ini menjadi penyokong kuat saya bertukar menjadi pengkritik terhebat dalam sekelip mata.
“Saya tidak pernah berdepan masalah dengan permainan saya sebaliknya ini adalah sebahagian daripada fasa yang berlaku dalam karier saya.
“Saya kemudian berusaha mencari semula semangat yang telah hilang dan berazam untuk mengubah segala masalah ini dan pada ketika itu masih ada pihak yang terus memberikan sokongan kepada saya.
“Ada orang cakap, saya sudah tua, saya sudah tidak boleh diharap, tidak berguna.
“Tetapi saya tidak peduli itu semua kerana saya tidak pernah bermain untuk orang lain dan saya percaya saya boleh bermain lagi, paling penting semangat itu masih ada dalam diri saya.
“Saya pernah nyatakan sebelum ini, saya akan terus beraksi selagi tiada mana-mana pemain Malaysia yang mampu menumpaskan saya dan sehingga hari ini saya masih pemain No.1 di negara ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini semalam.
Semalam pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali itu mengalahkan jaguh China, Chen Long 21-14, 21-19 untuk menamatkan kemarau lapan bulan tanpa kejuaraan di Terbuka Hong Kong.
Ia adalah gelaran kedua Chong Wei musim ini dan yang pertama sejak kali terakhir muncul juara All England, Mac lalu.
Kemenangan itu juga membolehkan dia mencatat rekod meraih 46 kejuaraan Liga Super sepanjang kariernya.
Sementara itu, Chong Wei berkata, fokus terdekatnya adalah Siri Super Dunia Akhir di Dubai, bulan depan sebelum berehat panjang untuk meluangkan masa bersama keluarga.
Katanya, dia tidak mahu memikirkan masalah yang pernah melanda, sebaliknya akan mengekalkan semangat untuk mengharungi saingan lebih sukar pada 2018 terutama menjelang Sukan Komanwel, Sukan Asia, Piala Thomas dan Kejohanan Dunia.
Sumber: Utusan Online