'Saya Mahu Ganti Chong Wei'


KUALA LUMPUR - Ketika Malaysia sedang berusaha mencari bintang baharu dalam acara perseorangan lelaki, Lee Zii Jia sudah mula mengorak langkah untuk menjadi antara calon terbaik.

Hari ini, pemain berusia 19 tahun itu layak ke pusingan kedua Cabaran Antarabangsa Celcom Axiata Malaysia di Pasir Gudang, Johor, selepas menundukkan pemain Jepun, Yusuke Onodera 21-18, 21-11.

Kira-kira seminggu lalu, pemain kelahiran Kedah itu bermain baik dan berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Terbuka Bitburger sebelum ditundukkan pemain Denmark, Rasmus Gemke.

Zii Jia yang ketika ini bergelar pemain nombor dua negara ketika dihubungi berkata: "Saya agak kecewa kerana gagal melangkah ke final di Jerman tetapi saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu.

"Lagipun, keputusan undian untuk pemain Malaysia bukan mudah. Kecuali Chong Wei, semua pemain perseorangan lelaki kita, ada di sana.

"Saya mahu membuktikan bahawa saya mampu bermain secara konsisten selepas Chong Wei. Saya yakin boleh mempamer aksi cemerlang tetapi pada masa sama, saya tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri."

Berikutan persembahan cemerlangnya, Zii Jia kini melonjak ke tangga ke-46 ranking dunia.

Sementara itu, turut menemaninya ke pusingan kedua adalah juara kebangsaan, Lim Chi Wing, pilihan keempat Soong Joo Ven, pilihan keenam Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Cheam June Wei, Tan Jia Wei, Soo Teck Zhi dan naib juara Kejohanan Remaja Dunia tahun ini, Leong Jun Hao.

Pemain lain yang turut layak ialah Goh Giap Chin dan Zulhelmi Zulkiffli.

Sumber: BH Online