Saya Setuju Jika KFA Pilih Gomez Berbanding Marcote - Akmal Rizal


ALOR SETAR - Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) harus membuat pilihan terbaik di dalam memilih pengendali baharu musim 2018 selepas dilihat kesuntukkan masa untuk membentuk dan membawa masuk beberapa lagi tenaga baharu ke dalam pasukan tersebut.

Menurut Bekas pemain Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, biarpun pasukan itu hampir pasti mengekalkan sebahagian besar muka lama namun perlu ada penambahbaikan bagi memastikan mereka mampu muncul antara pencabar terkuat di Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Jelasnya, secara peribadi, beliau bersetuju jika bekas pengendali JDT, Mario Gomez mengendalikan Skuad Helang Merah berbanding calon pilihan penyokong, Ramon Marcote yang pernah muncul sebagai Penolong Jurulatih Kedah pada 2015.

"Kedah sekarang kesuntukkan masa dan memerlukan ketua jurulatih yang sudah kenal liga kita kerana perlu membawa masuk pemain baru berkualiti untuk memperkasakan lagi pasukan menghadapi Liga-M 2018.

"Saya setuju jika KFA memilih Gomez kerana beliau sudah terbukti berjaya membantu JDT sebagai ketua jurulatih pada beberapa tahun lalu berbanding Marcote yang hanya membantu Tan Cheng Hoe sahaja semasa bersama Kedah.

"Gomez tentu masih lagi mengenali dan mempunyai pengaruh di kalangan pemain yang diperlukan untuk menguatkan lagi Hijau Kuning kerana saya percaya pada masa sekarang majotiti pemain berkualiti sudahpun mempunyai pasukan ataupun terus kekal bersama pasukan asal," katanya yang dipetik Sinar Online.

Kini, nama Gomez dan Marcote merupakan dua calon hangat yang diperkatakan setakat ini berbanding pilihan lain malah menjadi bualan di kalangan penyokong Kedah sejak dua minggu lalu.- Kedahnews.com