Sel Kanser Takut Pada Bawang Putih? Ini Karut!


TULAR menerusi media sosial dan aplikasi Whatsapp memaparkan satu rakaman video yang mendakwa bahawa sel kanser ‘takut’ kepada bawang putih sebaliknya ‘suka’ pula terhadap emas.

Rakaman berdurasi kurang daripada dua minit itu memaparkan objek berwarna hitam yang didakwa kononnya sel barah manusia dilihat ‘larikan diri’ daripada bawang putih tetapi lebih ‘tertarik’ kepada emas.

Dalam erti kata yang lain, rakaman tersebut ingin membuktikan kononnya sesiapa yang sering makan bawang putih berkemungkinan besar agak sukar untuk diserang kanser.

Tetapi, bagi mereka yang suka memakai logam diperbuat daripada emas pula akan lebih cenderung menjadi mangsa kepada penyakit berbahaya itu.

MENGARUT!!! Itulah antara reaksi para pakar perubatan negara selepas menyaksikan video ‘kanser’ berkenaan.


Menurut Pakar Perunding Ginekologi Onkologi, Datuk Dr. Mohd Rushdan Md. Noor, video berkenaan adalah sangat mengarut dan merupakan satu bentuk penipuan yang memperbodohkan sudut akal manusia.

“Video yang kononnya menunjukkan sel kanser tertarik pada emas (bermaksud kanser suka pada emas dan boleh biak lebih cepat) tetapi menolak bawang putih adalah jelas satu bentuk penipuan yang memperbodohkan akal manusia,” katanya dipetik sebuah portal online.

Jelasnya, apabila doktor mengeluarkan sel kanser daripada tubuh maka sel-sel berkenaan akan mati dengan serta merta kerana bekalan darah dan nutrien telah terputus daripada pesakit.

“Apabila seseorang itu dibedah dan kanser dikeluarkan daripada tubuh badan, sel kanser berbentuk ketulan yang dikeluarkan akan mati serta-merta kerana terputus bekalan darah dan nutrien daripada pesakit.

“Sebab itu apabila pesakit meninggal, sel kanser yang terdapat di dalam tubuh badan pesakit juga akan mati. Jadi video itu jelas menunjukkan satu penipuan,” jelasnya.

Tambah Mohd. Rushdan, kebiasaannya selepas proses pembedahan selesai, kesemua ketulan kanser akan dimasukkan ke dalam larutan tidak berwarna dikenali sebagai Formalin bagi tujuan pembekuan.

Kemudiannya, ia akan diserahkan kepada makmal patologi untuk tujuan pemeriksaan terperinci dan sama sekali tidak akan diberikan kepada pesakit mahupun pewaris.

“Alasannya adalah supaya pakar patologi dapat menganalisis ketulan tersebut secara terperinci kerana inilah salah satu sebab pembedahan itu dilakukan selain daripada untuk merawat,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab spekulasi berhubung emas pula beliau memberitahu barang berkenaan juga mempunyai ciri-ciri antikanser meskipun masih lagi dalam peringkat kajian.

“Tahukah anda bahawa terdapat ubat antikanser bernama Cisplatin, Carboplatin dan Oxaliplatin yang berasaskan platinum.

“Kajian telah menunjukkan bahawa emas (Gold (III)/Au) juga mempunyai ciri-ciri antikanser walaupun masih di peringkat kajian.

“Ubat yang di dalamnya mengandungi pati logam platinum, perak dan emas ini dikenali sebagai metallodrugs,” terangnya.

Susulan perkara itu, Mohd Rushdan berkata video berkenaan berkemungkinan hanyalah untuk mengambil kesempatan dan membuat tafsiran sendiri untuk tujuan tertentu.

“Berkemungkinan ada pihak-pihak lain mengambil kesempatan ke atas video tersebut dan membuat tafsiran sendiri untuk tujuan tertentu.

“Saya harap orang ramai jangan sebarkan pembohongan ini dan jadikan pengajaran supaya tidak tertipu lagi pada masa hadapan,” tegasnya.

Sementara itu, pendapat yang diutarakan oleh Mohd. Rushdan nampaknya mendapat sokongan daripada pakar perubatan lain.

Antaranya, Pakar Perunding Perubatan Paliatif Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Sheriza Izwa Zainuddin memberitahu kebiasaannya sel memerlukan nutrisi, oksigen dan juga persekitaran yang optimum untuk bertindak balas.

Jelasnya lagi, sel kanser sebenarnya tidak boleh hidup atau bertahan lama di luar daripada tubuh badan manusia.

Menurutnya, ayat Al-Quran yang dipasang dan nombor telefon tertera pada video berkenaan jelas menunjukkan ia bukan kajian makmal sebaliknya mempunyai tujuan untuk kepentingan lain.

Sehingga kini, video yang tular secara meluas itu masih lagi belum dapat dikenal pasti daripada mana sumbernya.–Kedahnews.com