Selebriti Malaysia Kongsi Rasa Sedih Bencana Banjir Di Pulau Pinang


KUALA LUMPUR  - Banjir yang melanda beberapa buah negeri di utara Semenanjung khususnya di Pulau Pinang menjentik emosi seluruh rakyat di negara ini.

Bencana yang disifatkan paling buruk dalam sejarah melumpuhkan hampir seluruh negeri Pulau Mutiara itu.

Selain pemimpin negara yang menterjemahkan rasa sedih mereka dengan tragedi banjir itu, barisan selebriti kelahiran Pulau Pinang turut berkongsi rasa terharu mereka.

Berikut petikan luahan rasa artis-artis kelahiran Pulau Pinang:

“Saya terkejut dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang dan difahamkan ia adalah banjir terburuk di dalam sejarah sebab seluruh kawasan itu lumpuh.

“Ini dugaan dan ujian Allah yang diturunkan kepada penduduk Pulau Pinang. Selama ini kita tengok macam selamat, tapi kalau nak berlaku kita memang tak dapat jangka sekelip mata saja boleh terjadi dan boleh ubah landskap yang sedia ada.

“Saya sebagai anak kelahiran Pulau Pinang saya rasa amat sedih dan kasihan kepada mereka yang terlibat dengan bencana tersebut.”

DATUK NASSIER WAHAB
(Penyanyi)

“Nasib baik rumah ibu bapa Almy tidak kena banjir, cuma laluan ke rumah sahaja yang ditutup separuh. Banjir ini adalah yang paling teruk saya lihat setakat ini. Tak dapat saya nak luahkan perasaan sedih dan simpati kepada mangsa banjir.”


ALMY NADIA
(Pelakon)

“Sememangnya saya terkejut dengan apa bencana alam yang sedang menimpa rakyat di Pulau Pinang ketika ini. Tetapi kita perlu redha dengan apa yang berlaku.

“Buat mangsa-mangsa, kena kuatkan semangat. Allah uji kita sedikit sahaja ini. Kena sabar dan terus berusaha untuk mendapatkan keberkatan dan keredaaNYA.”


SHARNAAZ AHMAD
(Pelakon dan pengacara)

 “Minggu lepas saya berada di Pulau Pinang tapi ketika itu tiada apa yang berlaku. Alhamdulillah, kawasan kediaman nenek saya di Sungai Batu, Teluk Kumbar juga tidak terjejas.

“Sepanjang saya hidup, saya rasa ini antara terburuk jugalah yang berlaku sebab belum pernah lagi sewaktu saya tinggal di sana terjadi kejadian seumpama itu. Mungkin ada hikmah dalam setiap kejadian.”


MILA JIRIN
(Juara Akademi Fantasia 5)

“Kebetulan ketika kejadian banjir berlaku, saya berada di Paris dan hanya melihat segalanya menerusi media sosial. Lebih sedih, rumah kakak saya turut dinaiki air.

“Memang memberi kesan kepada saya secara peribadi, apatah lagi bila melihat gambar-gambar banjir yang meranapkan sesetengah kawasan perumahan. Saya harap semua yang terlibat tabah dengan ujian ini,” kata Nurul.


NURUL HUDA ABDUL WAHAB
(Penyanyi)

Sumber: Utusan Online