Sembur Cecair Pada Anggota MPSJ Tak Puas Hati Tayar Dikunci


SERDANG - Seorang lelaki bertindak menyembur cecair ke muka anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kerana tidak berpuas hati apabila tayar keretanya dikunci, di hadapan sebuah restoran di Bandar Puteri Puchong, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.40 tengah hari, ketika anggota penguat kuasa itu sedang menjalankan operasi kunci tayar di lokasi berkenaan sebelum mendapati sebuah kereta jenis Honda City berwarna putih diparkir bukan di tempat letak kereta.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata kesalahan itu menyebabkan anggota berkenaan dan rakannya mengunci tayar kereta terbabit.

"Tiba-tiba sepasang suami isteri datang memarahi anggota terbabit dan bertindak agresif.

"Si suami kemudian menyembur sejenis cecair yang tidak diketahui ke muka anggota sebelum melarikan diri bersama isterinya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Megat Mohamad Aminuddin berkata, akibat kejadian penguatkuasa itu mengalami pedih pada bahagian mata selain penglihatannya kabur.

Katanya, polis kini sedang mengesan pasangan terbabit dan meminta mereka segera menyerah diri.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324/353 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut mengenainya sedang dijalankan.

Sumber: BH Online