Semua Pusat Pemindahan Banjir Di Kedah Sudah Ditutup Kecuali Pendang


ALOR SETAR -  Semua pusat pemindahan banjir di negeri Kedah sudah ditutup bermula petang ini kecuali di daerah Pendang yang masih menempatkan seramai 234 mangsa daripada 56 keluarga.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, pihaknya menjangkakan satu-satunya pusat pemindahan banjir yang masih beroperasi itu akan ditutup esok selepas mendapat kebenaran dari Pegawai Daerahnya, Zaid Ahmad.

"Semua pusat-pusat pemindahan banjir telah mula ditutup pada petang ini, kecuali bagi daerah Pendang ini sahaja. Di Kulim, Kuala Muda dan Yan, semuanya sudah ditutup.

"Lebih 2,000 mangsa banjir yang telah kita kendalikan selama empat hari ini semakin berkurangan jumlahnya dan hampir selesai. Di sini (Pusat Pemindahan Banjir Daerah Pendang), hanya tinggal 234 mangsa banjir dari 56 keluarga sahaja," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir daerah Pendang di Dewan Rakan Sukan, Mukim Ayer Puteh, di sini, petang tadi.

Turut hadir di majlis berkenaan adalah Pegawai Daerah Pendang, Zaid Ahmad, Pengarah JKM Negeri Kedah, Azmi Abd Karim, serta pegawai-pegawai agensi terlibat.

Menurut Suraya, rata-rata mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan banjir berkenaan sudah meminta untuk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan hanya menunggu kebenaran rasmi dari Pegawai Daerah.

"Mereka memang sudah meminta untuk balik ke rumah dan hanya menunggu Pegawai Daerah memberi kebenaran setelah memastikan semuanya dalam keadaan selamat untuk pulang ke rumah masing-masing," ujar beliau lagi.

Exco Kerajaan Negeri itu juga menjelaskan bahawa pihak Kerajaan Negeri dan agensi terlibat sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya gelombang kedua bencana banjir melanda negeri ini.

Selain agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan Negeri, RELA, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Majlis Daerah Pendang, pusat pemindahan banjir tersebut turut dibantu oleh 20 sukarelawan.

Suraya juga mengucapkan kepada semua pihak yang turut terlibat menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan banjir di negeri ini termasuk syarikat-syarikat swasta dan individu perseorangan.


"Kita nak ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat seperti agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan orang awam yang menghulurkan bantuan, derma, sumbangan tenaga dan sebagainya.

"Macam hari ini, syarikat pembekal ayam Bismi telah sudi hadir menyumbangkan beras dan mereka akan memasak untuk mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan ini, terima kasih tidak terhingga saya ucapkan," ujar beliau. - Kedahnews.com