ALOR SETAR - Memilih untuk menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap Final Piala Malaysia 2017 bertemu Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini.
Penyerang muda Kedah, Syafiq Ahmad mendedahkan bahawa dia tidak ambil peduli dengan gosip yang mengaitkannya dengan pasukan selatan itu pada musim hadapan.
Misi utamanya kini adalah mahu membantu Kedah mempertahankan gelaran juara Piala Malaysia buat dua kali berturut-turut, dan turun beraksi pada pentas perlawanan akhir adalah impian buat semua pemain, jelasnya.
"Jika diturunkan pada final bertemu JDT, saya tidak mempunyai masalah untuk membuktikan dan memberikan yang terbaik.
"Setiap pemain apabila berada di peringkat final ini masing-masing mahu mendapatkan Piala Malaysia untuk pasukan dan diri sendiri, Inshaallah jika ada rezeki kita akan cuba untuk membawa sekali lagi piala itu ke Kedah bagi musim 2017," katanya.
Tambahnya, selama ini penyokong setia dan keluarganya sering menjadi tunjang utama di dalam menyokong dan memberikan semangat kepadanya untuk memberikan terbaik sebagai seorang pemain bolasepak hari ini.
Tambah Syafiq, beliau masih terus mahu menambah koleksi piala buat dirinya dan tidak akan mempersia-siakan beraksi pada pentas final itu.
Pemain kelahiran Sungai Ara Pulau Pinang ini mula menyertai skuad utama Kedah pada 2015 dan berjaya membantu pasukan menjulang Piala Liga Perdana diikuti Piala Malaysia (2016), Piala Sumbangsih (2017) dan Piala FA (2017). - Kedahnews.com