Singapura Kutuk Serangan Pengganas Ke Atas Masjid Al-Rawda


SINGAPURA – Singapura mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas terhadap masjid al-Rawda di bandaraya Bir Al-Abed di utara Sinai, Mesir semasa solat Jumaat semalam, mengakibatkan sekurang-kurangnya 235 jemaah terbunuh dan lebih 109 lagi cedera.

“Mereka yang bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu perlu dibawa ke muka pengadilan,” kata jurucakap Kementerian Luar dalam kenyataan di sini, hari ini.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa dan mendoakan mereka yang cedera agar cepat sembuh.

“Singapura bersama-sama dengan kerajaan dan rakyat Mesir dalam menentang keganasan tatkala Mesir sedang berkabung,” kata jurucakap itu.

Menurut kementerian itu, Kedutaan Singapura di Kaherah sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Mesir.

“Ketika ini tiada rakyat Singapura yang berdaftar dengan e-registered berada di Bir Al-Abed dan tiada rakyat Singapura dilaporkan cedera dalam serangan itu setakat ini,” katanya. – BERNAMA