Siti Dapat Menantu, Izara Sah Bergelar Isteri Adib


PETALING JAYA – Pelakon kecil comel, Izara Aishah sah bergelar isteri kepada anak tiri penyanyi popular Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin, Adib Khalid dengan sekali lafaz pada malam tadi.

Pasangan tersebut akhirnya berjaya disatukan kira-kira pukul 9 malam Jumaat dalam sebuah majlis secara tertutup yang diadakan di Glamm Hall, Mercu Mustapha Kamal, Damansara di sini, lapor portal tempatan mStar.

Izara atau nama sebenarnya Nik Izara Aishah Nik Izazurin, 25 tahun, menerima mas kahwin sebanyak RM700 dari Adib. Wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Beliau turut menerima lima dulang hantaran daripada pihak keluarga lelaki dan kemudian membalas dengan tujuh dulang hantaran.

Majlis istimewa itu hanya dihadiri lebih 500 tetamu yang terdiri daripada keluarga kedua belah pihak, rakan artis dan teman rapat.

Sebelum ini, pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 7 Julai selepas bercinta selama tiga tahun. Sementara itu, Izara meluahkan rasa syukurnya kerana majlis yang dirancang selama tiga bulan itu berjalan lancar.

“Alhamdulillah, sempurna sudah majlis pernikahan. Sejujurnya, saya berasa sangat gementar sebelum acara bermula. Namun, apabila Adib selesai melafazkan akad nikah perasaan sangat lega.

“Apa yang pasti, bermula sudah tanggungjawab baru saya sebagai isteri. Saya mengharapkan rumah tangga yang dibina ini berkekalan hingga ke jannah dan berlangsung dengan baik. Doakan yang terbaik buat kami,” kata Izara.

Menurut laporan mStar lagi, pasangan ini turut diraikan dalam majlis resepsi sebelah pihak perempuan selepas acara akad nikah tersebut berlangsung.

Majlis yang mendapat sentuhan daripada perancang perkahwinan GlamWeddings itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi Marsha Milan dan teman baiknya pelakon Kilafairy.

Pasangan mempelai tersebut anggun mengayakan busana pereka fesyen terkenal tanah air, Datuk Rizalman Ibrahim serta barang kemas daripada Habib, lapor mStar lagi.

Antara rakan artis yang hadir ialah Scha Alyahya, Awal Ashaari, Osman Ali, Ghaz Abu Bakar dan Azira Shafinaz. Selamat pengantin baharu! –Kedahnews.com