KEMAMAN - Tiga individu termasuk sepasang suami isteri dan seorang tauke bot nelayan warga Vietnam ditahan reman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan cubaan merasuah pegawai Maritim Malaysia (APMM) untuk melepaskan bot nelayan negara itu yang telah disita agensi penguat kuasa itu baru-baru ini.
Perintah reman itu dibenarkan Hakim Badrul Munir Abdul Hamdi di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 29 hingga 48 tahun ditahan sewaktu tengah berurusan di sebuah restoran di sini pada pukul 1.30 petang kelmarin.
"Mereka termasuk lelaki warga Vietnam terbabit ditahan ketika sedang menyerahkan wang tunai RM100,000 kepada pegawai APMM terbabit.
"Transaksi itu dipercayai untuk melepaskan bot nelayan Vietnam dianggarkan bernilai jutaan ringgit yang dalam proses pelupusan selepas disita APMM kerana mencerobohi perairan negara baru-baru ini," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sumber: Kosmo