COX'S BAZAR (Bangladesh) - Setangkai bunga gladiola yang dihulurkan seorang anak kecil etnik Rohingya antara pengalaman yang menyentuh hati anggota Parlimen Malaysia yang menyertai rombongan lawatan ke kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, kelmarin.
Bunga yang membawa maksud perjuangan itu seolah-olah ‘suara harapan’ anak kecil itu kerana masyarakat tempatan di sini percaya bunga gladiola melambangkan jalinan kasih sayang dan semangat mereka yang tidak kenal erti menyerah kalah dapat disebarkan kepada seluruh dunia.
Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, beliau merasakan satu keikhlasan yang amat besar dilemparkan pelarian itu kepada kumpulan delegasi Malaysia.
“Bunga yang saya terima ini merupakan penghargaan mereka kepada kerajaan Malaysia melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menyediakan pelbagai kemudahan termasuk madrasah.
“Anak kecil ini berbaris di sisi jalan sambil mengiringi kami semua hingga masuk ke dalam madrasah yang baru dibina itu. Mereka mengucapkan salam dan sentiasa menghargai sumbangan kita rakyat Malaysia. Hati mereka penuh dengan kasih sayang,” katanya yang tersentuh hati dengan pemberian bunga itu.
Kelmarin, delegasi 13 Anggota Parlimen Malaysia yang dalam rangka lawatan dua hari ke kem pelarian Rohingya di wilayah itu meluangkan masa dua jam melawat Kem Bhalukali yang menempatkan lebih 200,000 pelarian.-BERNAMA