ALOR SETAR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, menjelang Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) merupakan masa yang paling tepat untuk Gerakan merampas semula Pulau Pinang daripada DAP.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menambah, perkara tersebut bukan lagi sesuatu yang itu mustahil kerana kerajaan negeri DAP dengan nyata mengabaikan kebajikan masyarakat Pulau Pinang, hingga memusnahkan alam sekitar negeri tersebut.
Tegas beliau, tindakan tersebut jauh berbeza dengan pendirian Gerakan dan kesemua parti komponen BN yang buta warna kerana mereka mengenepikan kepentingan politik dalam membantu semua masyarakat.
“Kekalahan Gerakan di Pulau Pinang dalam PRU12 pada 2008, hanyalah bersifat sementara. Kita akan merampas semula negeri itu dalam pilihan raya akan datang yang bakal diadakan kurang dari 180 hari.
“Rampasan kuasa di Pulau Pinang itu sebagai tanda tanggungjawab kerajaan BN untuk membela kebajikan rakyat, buktinya kita buta warna malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri itu baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Ke-46 di Dewan Wawasan Tun Dr. Lim Keng Yaik Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong. - Kedahnews.com