Sudah Tiba Masanya KFA Bawa Kembali Marcote Ke Bumi Jelapang Padi @Marcote8


TIDAK dapat dinafikan bahawa tewas pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 dan tidak dapat mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim lalu merupakan satu keputusan yang agak mengecewakan ratusan ribu peminat Hijau Kuning di seluruh negeri.

Begitu juga dengan para pemain skuad Lang Merah dan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang sebelum ini bertungkus lumus cuba mempertahankan piala berprestij itu di bumi Jelapang Padi, namun takdirNya tidak menyebelahi kita.

Namun begitu, biar sepahit mana pun kekalahan 0-2 ditangan Johor Darul Takzim (JDT)semalam juga merupakan asam garam pertandingan dan perlu ditelan. Kedah sebelum ini berjaya menempu liku getir kancah bola sepak negara pastinya akan bangkit dari kelukaan ini.

Tamat sudah musim bola sepak pada tahun ini menyaksikan JDT tenyata membuktikan keunggulan pasukan Harimau Selatan itu konsisten dalam kelas yang tersendiri.

Namun Kedah juga harus berbangga kerana mampu memberi saingan sengit bermati-matian semalam.

Tahniah bagi kedua-dua pasukan!

Perjalanan Lang Merah bagaimanapun tidak akan terhenti meskipun tidak dapat mempertahankan Piala Malaysia musim ini. Banyak yang perlu dilakukan untuk memantapkan pasukan kebanggaan rakyat negeri Kedah itu bagi menghadapi musim akan datang, khususnya KFA sendiri.

KFA merupakan sebuah persatuan bola sepak yang telah lama ditubuhkan. Pengalaman berpuluh-puluh tahun menyaksikan jatuh bangun Lang Merah yang dulunya terkenal dengan skuad Kenari dan jolokan Hijau Kuning.

KFA pernah menjulang Kenari mahupun Lang Merah menjuarai banyak piala di negara ini. Antaranya ialah Piala Malaysia, Piala FA, Piala Liga Perdana, Liga Super, Piala Sultan Ahmad Shah, Piala Sumbangsih dan pernah menyertai Piala AFC walaupun hanya berjaya ke peringkat suku akhir pada 2008.

Namun begitu, keadaan terkini juga menyaksikan Lang Merah terpaksa berputih mata, melepaskan Piala Malaysia ke negeri paling selatan tanahair yang ternyata lebih hebat di atas padang. Bukan mudah untuk berdepan pasukan Harimau Selatan itu, bukan?


Rata-rata pengulas sukan memberikan komen yang agak setara, namun mengkritik jentera pertahanan Kedah yang agak longgar dan melakukan kesilapan sehingga membenarkan JDT membolosi gawang gol sebanyak dua kali, selain strategi yang kurang menyerlahkan kemampuan Kedah yang sebenar.

Pada pandangan kami, sudah tiba masanya untuk KFA mempertimbang bagi mengembalikan bekas penolong jurulatih Kedah, Ramon Marcote ke bumi Jelapang Padi untuk mengemudi Lang Merah menghadapi musim akan datang yang jelas lebih mencabar.

Kedah pada musim depan bukan hanya bakal berdepan saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia sahaja, namun turut bakal memberi saingan dalam kejuaraan Piala AFC mengiringi "Raja Bola Sepak Negara" yang terkini, Johor Darul Takzim (JDT).

Bukanlah ini bermaksud kita merendah-rendahkan kemampuan jurulatih tempatan, Nidzam Adzha Yusoff, namun ramai pihak yang berpandangan bahawa Marcote mempunyai pengalaman, ilmu dan keupayaan lebih baik daripada Nidzam.

Difahamkan bahawa Marcote memiliki lesen kejurulatihan UEFA PRO A yang dianggap cukup layak untuk menjadikan beliau sebagai Ketua Jurulatih Kedah. Malah lesen berkenaan lebih tinggi tarafnya berbanding lesen kejurulatihan yang dikeluarkan AFC.

Selain itu, Marcote juga difahamkan adalah merupakan lulusan Sarjana (Master) Sains Sukan dan mungkin sudah bejaya menamatkan pengajiannya dalam usaha mendapatkan ijazah kedoktoran dalam jurusan tersebut. Itu bermaksud, selain berpengalaman, beliau juga berilmu tinggi.


Bercakap mengenai pengalaman, cukup jelas Marcote telah membuktikan kemampuannya ketika bertugas sebagai Ketua Jurulatih skuad remaja untuk kelab ternama Sepanyol, Atletico Madrid, dan berjaya melahirkan bakat besar seperti Fernando Torres, Radamel Falcao, Sergio Aguero, David de Gea, Jorge Resurrección Merodio atau Koke, dan ramai lagi.

Pemain-pemain remaja di bawah kendalian Marcote itu kemudian berjaya dijual kepada kelab-kelab ternama dengan harga yang mahal sebelum beliau dilantik sebagai penolong juruatih bagi skuad utama kelab berkenaan.

Mengimbas kembali sentuhan Marcote ketika bersama Kedah sebelum ini, beliau sempat menurunkan ilmu hantaran pendek (short passes) "tiki taka" ala Sepanyol yang kemudian berjaya meningkatkan prestasi pasukan dalam hampir setiap perlawanan.

Berhubung kekangan kewangan yang heboh diperkatakan sebelum ini, maka mungkin KFA selaku persatuan yang bertanggungjawab dapat memikirkan dengan baik cara untuk mendapatkan dana yang mencukupi bagi menampung "keperluan" skuad Lang Merah ini.


Mungkin setelah tidak perlu memberikan bonus bernilai RM50,000 kepada Lang Merah ekoran gagal mempertahankan Piala Malaysia musim ini maka peruntukan tersebut boleh digunakan bagi mendapatkan khidmat Marcote, bukan?

Dengan reputasi Lang Merah selaku Naib Juara Piala Malaysia yang beraksi tiga kali berturut-turut dalam perlawanan piala berprestij, bakal mencabar Piala AFC pula pada musim hadapan dan ditambah pula keupayaan KFA menguruskan pasukan, ramai yang yakin KFA mampu mendapatkan khidmat Marcote sekali lagi.

Walau bagaimanapun, bukanlah mudah untuk mendapatkan khidmat Marcote seperti yang diperkatakan. Perlu juga difikirkan pelbagai aspek lain khususnya berhubung kontrak pemain dan anggota Lang Merah yang tepat untuk dikekalkan bersama Kedah.

Berat mata memandang, namun itulah hakikat dan cabaran yang perlu diambil oleh KFA setelah berakhirnya musim 2017 ini. Semoga KFA dipermudahkan urusannya dan semakin agresif meningkatkan prestasi pasukan kebanggaan anak Kedah ini.

Biar jasa jadi kenangan, pulun Kedah pulun! - Kedahnews.com