ALOR SETAR - Suspek etnik Uighur yang lolos dari kem Imigresen Sadoa, Thailand berkemungkinan besar memilih laluan Bukit Kayu Hitam, Kedah, untuk menyeludup masuk ke negara ini, berbanding Sungai Golok.
Menurut sumber berkata, laluan di Bukit Kayu Hitam lebih dekat berbanding dari Sadoa ke Pekan Sungai Golok yang mengambil masa beberapa jam.
Tambahnya lagi, faktor sungai juga antara halangan besar buat suspek berkenaan menyebabkan mereka akan memilih laluan Bukit Kayu Hitam.
"Jika mereka seludup masuk melalui Sungai Golok, mereka perlu berdepan kawalan polis Thailand dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Justeru, kesemua suspek yang lolos itu berkemungkinan besar melarikan diri ke Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan, Mohd Asri Yahya, berkata pihaknya kini memperketatkan kawalan di dua sekatan di Rantau Panjang dan Bukit Bunga, Tanah Merah.
Jelasnya, sebaik menerima maklumat etnik terbabit lolos, AKSEM mengambil tindakan susulan dengan perketat kawalan dan memeriksa kenderaan yang datanag dari Thailand.
"Selain itu, kita perketat kawalan melalui kekerapan rondaan di kawasan sempadan terutamanya sepanjang jalan KESBAN, dan terminal pengangkutan awam," ujarnya seperti dilapor BH Online.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata tangkapan akan dilakukan sekiranya suspek berkenaan dikesan di Kelantan.
"Kita percaya mereka tidak akan masuk melalui Pekan Golok dan menyeberangi Sungai Golok, namun sebarang kemungkinan boleh berlaku dan kita akan memberi tumpuan di lokasi tertentu," katanya.
Menurut laporang akhbar sebelum ini, pihak berkuasa Thailand sedang memburu 20 etnik Uighur Muslim dari China yang melarikan diri dari pusat tahanan imigresen di selatan Thailand, ketika Beijing mendesak Bangkok menghantar mereka pulang. - Kedahnews.com