Syafiq Ahmad Belum Putus Pindah Ke JDT


ALOR SETAR - "Saya belum buat keputusan, masih dok pikiaq (fikir) lagi."

Berikut adalah jawapan penyerang muda Kedah, Syafiq Ahmad mengenai tawaran menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT), pada musim depan.

Syafiq yang baru pulang daripada tugasan bersama skuad kebangsaan pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di Buriram, Thailand berkata, dia tidak mahu terburu-buru membuat keputusan.

"Saya baru balik dari Thailand, nak berehat dulu. Belum ada kata putus antara saya dengan JDT, kami masih dalam peringkat perbincangan.

"Lagipun saya masih ada kontrak bersama Kedah hingga hujung bulan ini, jadi sebarang keputusan hanya akan saya buat selepas itu," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Syafiq, 22, merupakan salah seorang tonggak yang membantu skuad negara layak ke Kejuaraan B-23 Asia di China, Januari depan, disebut antara pemain baru yang akan direkrut oleh JDT musim depan.

Terdahulu, dia turut mencetus kemarahan penyokong Kedah apabila gambar pertemuannya dengan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang FELDA United tersebar di media sosial.

Gambar dengan keterangan - 'kualiti menarik kualiti' turut menggambarkan betapa JDT memandang tinggi kemampuan pemain kelahiran Pulau Pinang itu sekaligus memberi petanda mereka begitu berminat untuk mendapatkan khidmat Syafiq.

Walau bagaimanapun, Syafiq tidak membiarkan kontroversi itu mengganggu tumpuannya apabila membantu Kedah layak ke final Piala Malaysia menentang JDT pada 4 November lalu.

Selain Syafiq, beberapa orang pemain skuad B-23 seperti Adam Nor Azlin (Selangor), Syamel Kutty Abba (Pulau Pinang), Adib Zainuddin (FELCRA FC) dan Nor Azam Azih (Pahang) turut dikaitkan dengan perpindahan ke JDT yang merupakan juara Liga Super empat kali itu. - Kedahnews.com