ALOR SETAR - Penyerang muda Kedah, Syafiq Ahmad terpaksa melupakan perancangan bulan madu sebaliknya akan kembali memberi tumpuan kepada latihan bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) yang bakal menghadapi Kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23, di China, pada 9- 27 Januari depan.
Syafiq, 22, yang baru mendirikan rumah tangga bersama gadis pilihannya, Nor Amalina Norain, 22, pada 23 November lalu berkata, dia akan melaporkan diri ke kem latihan kendalian Datuk Ong Kim Swee pada 7 Disember ini.
"Buat masa ini saya perlu tangguhkan niat hendak berbulan madu. Datuk Ong (Kim Swee) pun sudah menelefon saya semalam bertanya bila saya nak lapor diri.
"Saya minta cuti seminggu lagi kerana majlis perkahwinan di sebelah pihak saya di Sungai Ara, Pulau Pinang akan berlangsung pada hujung minggu ini. Beliau beri saya cuti sehingga 6 Disember.
"Maknanya, pada 7 Disember saya kena lapor diri serta kembali fokus kepada latihan. Saya perlu tolak tepi semua hal berkaitan peribadi termasuk soal berbulan madu," kata Syafiq yang dipetik BH Online.
Tambah Syafiq, sebagai salah seorang pemain yang memerah keringat membantu skuad negara layak ke kejohanan itu, dia tidak mahu namanya tercicir dari senarai akhir pemain yang akan beraksi di China kelak.
Malah, ujar anak kelahiran Pulau Pinang ini, kalau boleh dia mahu bertindak sebagai penggempur utama bagi menghadapi Iraq, Jordan dan Arab Saudi yang akan menjadi lawan Malaysia dalam Kumpulan C nanti.
Pada masa sama, Syafiq sedar ia bukan tugas mudah kerana selain terpaksa bersaing dengan pemain sedia ada seperti Jafri Firdaus Chew, N Thanabalan dan Safawi Rasid, kehadiran empat pemain skuad B-19 yang diserapkan oleh Kim Swee turut perlu diperhatikan.
Kehadiran pemain seperti Hadi Fayyad Abdul Razak, 17, tonggak yang membawa Malaysia layak ke Piala Asia B-19 di Indonesia tahun depan dianggap menjadi saingan utama kepada pemain lebih senior seperti Syafiq.
Mengula mengenai tanggungjawabnya yang bertambah sebagai suami pada usia muda, Syafiq menganggap keputusan yang diambil untuk berkahwin amat bertepatan dengan masanya.
"Saya tidak menganggap perkahwinan ini sebagai sesuatu yang membebankan sebaliknya menjadi pendorong untuk lebih maju.
"Lagipun kami sudah lama saling mengenali dan memang merancang untuk mengakhiri hubungan ini dengan perkahwinan.
"Saya yakin, selepas bergelar suami, saya akan menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab serta dapat memberi fokus kepada karier sebagai pemain bola sepak," ujar Syafiq. -Kedahnews.com