Syukur Che Bah Sekeluarga Selamat


HANYA beg mengandungi Mykad sempat diselamatkan seorang warga emas selepas rumahnya di Permatang Rambai, Kepala Batas, terbakar jam 9.15 pagi, hari ini.

Ketika kejadian, Che Bah Din, 70-an, sedang bersiap untuk keluar rumah bagi mengambil ubat darah tinggi.

Bagaimanapun, seketika kemudian, dia ternampak api dari bilik di tingkat bawah lalu memaklumkannya kepada tiga anaknya berusia 20-an hingga 46 tahun.

“Dalam keadaan kelam kabut, saya hanya fikir hendak selamatkan diri.

“Saya sempat mengambil beg mengandungi Mykad sebelum keluar bersama anak melalui pintu belakang rumah,” katanya selepas menerima sumbangan daripada wakil Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas.

Kediaman dihuni Che Bah adalah rumah pusaka berusia lebih 70 tahun. Turut musnah dua motosikal yang diletak dalam rumah.

Anak Che Bah, Siti Hajar Mat, 46, berkata, kebetulan dia menyalakan lilin dalam bilik kerana bekalan elektrik terputus.

“Saya masuk ke bilik air namun sebaik keluar, api sudah marak di bilik bawah sebelum merebak ke tingkat atas.

“Kami keluar melalui pintu belakang kerana dua motosikal diletak di pintu depan, kami bimbang terperangkap,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Muda diketuai Penolong Pegawai Bomba Mohamad Fauzi Bakar bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kebakaran, jam 9.22 pagi.

“Sebaik tiba, api sedang marak di rumah dua tingkat berkenaan namun ia dapat dipadam beberapa minit kemudian.

“Tiada kecederaan dilaporkan kerana penghuni sempat menyelamatkan diri, punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Sumber: MyMetro