KUALA KEDAH - Waris dan penduduk Kampung Padang, Jalan Kuala Kedah, di sini, memohon peruntukan kewangan untuk membina semula dewan baharu membabitkan premis dua tingkat sedia ada itu.
Ketua Wanita Umno Kampung Padang merangkap Pengerusi Kemas Kampung Padang, Khalijah Jaafar, 53, berkata, premis dibina sekitar tahun 70-an kini semakin uzur.
“Pada peringkat awalnya, premis itu dijadikan madrasah sebelum ditukarkan kepada dewan orang ramai untuk kemudahan penduduk tempatan.
“Selepas itu, kita adakan kelas ngaji al-Quran di tingkat atas premis itu, manakala tingkat bawah dijadikan kelas tadika sejak 1993,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kini hanya bahagian bawah boleh digunakan untuk tujuan pembelajaran murid tadika apabila kebanyakan bahagian reput dimakan anai-anai.
“Dulu kami boleh juga guna bahagian tingkat atas ini, sekarang dah tak boleh sebab lantai papan ini dah reput.
"Dua tahun kebelakangan ini lagi teruk dan hampir 70 peratus tingkat atas dah reput," katanya.
Disebabkan itu, Khalijah berkata, premis itu perlu dibina semula berbanding dibaik pulih.
Khuatir keselamatan murid-murid
Sementara itu, waris, Nor Aslinda Mat Lazim, 32, berkata, dia khuatir akan keselamatan anak lelakinya yang belajar di tadika itu berikutan keadaan premis yang makin usang.
“Bila waktu hujan, air menitik kena lantai. Lama kelamaan, lantai tingkat atas makin mereput.
"Tengok pun takut, apatah lagi pijak,” katanya.
Aslinda berkata, selain itu, beberapa bahagian dinding tingkap dan anak tangga rosak akibat dimamah usia.
"Bukan apa takut kejadian buruk berlaku, risau juga tengok alang ini, siling boleh roboh bila-bila masa.
"Tapi itu la kami tak ada pilihan, terpaksa juga hantar anak ke sini. Kebanyakan waris tetap hantar anak ke tadika ini, disebabkan mudah dan berdekatan rumah,” katanya.
Siti Fatimah Abd Rashid, 61, turut bimbang keadaan cucunya yang belajar di tadika berkenaan.
“Mak cik nampak tiang dan alang kayu sudah tidak kukuh sebab dimakan anai-anai.
"Bayangkan, macam mana kalau angin kuat tiba-tiba, kayu boleh jatuh tanpa kita jangka,” katanya.
Katanya, keadaan dinding di tandas dan dapur yang mengalami kerosakan juga perlu dibaiki segera untuk keselesaan murid tadika itu.
"Sekumpulan penduduk pernah kutip wang untuk tukar bumbung, tapi kerosakan lain pula timbul," katanya.
Kos RM50,000 diperlukan
Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan kos pembinaan semula premis itu akan menelan belanja kira-kira RM50,000 melibatkan harga bahan dan upah pekerja.
Malah penduduk merayu sumbangan korporat atau mana-mana pihak bagi membantu membina semula premis itu, memandangkan mereka tidak berkemampuan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang, Amran Ali berkata, pihaknya sedia maklum kerosakan di tingkat atas premis itu.
“Ada penduduk telah mengadukan perkara itu dan saya memahami kebimbangan mereka.
"Malah, kami dalam proses dan sedang berusaha mendapatkan bantuan bagi membaiki kerosakan itu,” katanya.
Sumber: Sinar Online