SEKALUNG tahniah diucapkan buat pasangan King Coco dan Captain Azrin yang baru sahaja menimang cahaya mata pertama mereka, semalam.
Coco atau nama sebenarnya, Marshaira Ismail selamat melahirkan seorang bayi lelaki sekitar jam 5.29 petang di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.
Khabar gembira berkenaan dikongsi pasangan terbabit menerusi beberapa posting yang dimuat naik di laman Instagram masing-masing selepas kelahiran si kecil seberat 3.5 kg itu.
Dalam pada itu, Coco juga dilihat sempat merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak hospital atas layanan baik yang diberikan sepanjang keberadaannya di sana.
Pada masa sama, Captain Azrin turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan buat anak dan isterinya.
“Alhamdulillah isteri saya Marshaira Binti Ismail baru saya melahirkan bayi lelaki seberat 3.63kg lebih kurang pukul 5.29 petang di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.
“Terima Kasih diatas doa kedua-dua ibubapa kami, adik beradik, saudara-mara serta rakan-rakan yang kami kasihi semuanya. Semoga dengan kelahiran ini membawa seribu berkah dan rahmat kepada semuanya. Doakan agar besar nanti menjadi anak yang soleh. Amin,” tulisnya.
Perkongsian tersebut dilihat menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-rata mengucapkan tahniah buat pasangan ini.
Sekali lagi tahniah kami ucapkan buat King Coco dan suami ya! Semoga dengan kehadiran putera ini memberi lebih kebahagian buat rumah tangga mereka berdua! – Kedahnews.com