Tahun Lepas KLCC, Tahun Ni Nasi Lemak Pula!


KUALA LUMPUR – Miss Universe Malaysia, Samantha Katie James bakal bertanding dalam pertandingan ratu cantik Miss Universe 2017 dengan memperagakan ‘sepinggan’ citarasa Malaysia — nasi lemak!

Samantha akan menggayakan gaun yang diinspirasikan daripada sepinggan penuh kenikmatan itu lengkap dengan ciri-ciri yang menjadikan nasi lemak makanan kebangsaan negara kita iaitu ikan bilis, sambal tumis dan telur rebus ‘dihidangkan’ di atas sehelai daun pisang.

Menurut laporan majalah Elle Malaysia, gaun tersebut merupakan buah fikiran daripada pereka fesyen tempatan Brian Khoo dan mengambil masa sebulan untuk dihasilkan.

Hasil rekaan Brian itu telah ditunjukkan buat pertama kalinya di Petaling Jaya dan akan diperagakan dalam kategori kostum kebangsaan pertandingan ratu cantik antarabangsa itu.

Tahun lalu, Miss Universe Malaysia 2016 Kiran Jassal telah memperagakan busana berbentuk Menara Berkembar Petronas rekaan Rizman Ruzaini, dengan kedua-dua menara itu ‘terlekap’ pada bahagian bahu baju tersebut.


Samantha, 22, akan bertanding dengan 41 orang delegasi daripada seluruh dunia dalam pertandingan ratu cantik Miss Universe yang ke-66 itu.

Gadis itu memulakan kerjayanya sebagai model sejak berusia 17 tahun dan telah tinggal di Amerika Syarikat, Brazil, India dan Thailand. Dia juga pernah terbabit dalam iklan dan filem di Indonesia dan China. - Kedahnews.com