Taktik Baru Edar Dadah Dalam Paket Minuman Segera Tumpas


PULAU PINANG – Kelicikan sindiket dadah di negeri ini membungkus dadah dalam paket minuman segera gagal mengaburi pihak berkuasa selepas lima individu termasuk dua wanita ditahan dalam serbuan di sebuah apartmen di Jalan Harbour Place, Sea View Tower, Butterwoth di sini Isnin lalu.

Kesemua mereka yang mengedar dadah  jenis itu di pusat-pusat hiburan seluruh negeri ini ditahan dalam serbuan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri kira-kira pukul 6.45 pagi.

Dalam serbuan itu, polis berjaya memberkas suspek berkenaan yang berusia antara 23 hingga 32 tahun selain polis turut merampas kira-kira 3.5 kilogram dadah jenis ekstasi dan 50.7 gram ketamin bernilai RM350,000.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik berkata, sindiket berkenaan mencampurkan dadah itu di dalam bungkusan minuma segera Milo; jus limau dan Detox Hi Fiber Mango sebelum dijual di pusat hiburan pada harga RM100 sepaket.

Ujarnya, setiap paket minuman segera itu dibuka di bahagian belakang sebelum kira-kira 0.4 gram dadah jenis ekstasi dicampur dan paket itu ditampal semula menggunakan mesin bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Menurut beliau, kegiatan itu pula dibantu  orang dalam pusat-pusat hiburan dengan  keuntungan mencecah RM50,000 sebulan dan polis kini sedang menjejak sumber dadah yang diperoleh sindiket berkenaan.

“Kita pertama kali mengesan modus operandi seperti ini dalam kegiatan mengedar dadah di negeri ini dan percaya dalang utama sindiket ini masih bebas.

“Daripada siasatan, setiap paket minuman segera itu jika dibancuh boleh menghasilkan satu jag minuman dan dinikmati sekurang-kurangnya empat hingga lima orang,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Roslee, dalam serbuan sama, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM6,500 dan menyita beberapa jenis kereta antaranya Honda Jazz; Mercedez; BMW serta Toyota Vios dan Altis

Turut dirampas, katanya, barangan kemas iaitu empat rantai leher, gelang tangan dan 10 bentuk cincin yang dianggarkan bernilai lebih RM475,000.

“Siasatan terhadap suspek juga mendapati salah seorang mereka mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan dadah.

“Mereka kini ditahan reman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya. 

Sumber – MalaysiaGazette