LONDON – Bekas kapten England, Alan Shearer bimbang akan mengalami masalah otak dan mengidap penyakit demensia (nyanyuk) kerana menanduk bola lebih 150 kali sehari sepanjang kariernya.
Bekas bintang penyerang Newcastle United itu mendakwa, pengurus-pengurus bola sepak ketika ini mengabaikan fakta bahawa tandukan yang terlalu banyak boleh memberi kesan jangka panjang kepada pemain.
Purata satu daripada lima gol Shearer, 47, sepanjang zaman kegemilangannya terhasil menerusi tandukan. Dia memegang rekod 260 gol dalam Liga Perdana Inggeris dan berlatih menanduk bola 150 kali sehari.
Akhbar Britain, Daily Mirror hari ini mendedahkan, tiga daripada anggota skuad England yang menjuarai Piala Dunia 1966 mengalami masalah demensia, malah secara keseluruhan 375 pemain di negara itu dilaporkan mempunyai masalah ingatan.
“Tidak banyak penyelidikan dibuat mengenai isu ini. Pihak berkuasa kelihatan keberatan untuk mengetahui apa keputusannya (ujian). Mereka cuba ‘menyapu di bawah permaidani’ (menutup kes) dan itu tidak cukup bagus.
“Bola sepak adalah permainan yang hebat tetapi ia juga sukar dan kita perlu memastikan ia tidak menjadi sukan yang mampu ‘membunuh’,” kata Shearer.
Bagi mengetahui sama ada dia mengidap demensia atau tidak, Shearer menjalani ujian imbasan serta rawatan otak Ahad lalu, dan proses tersebut didokumentasikan legenda Newcastle itu dalam program ‘Football and Me’ terbitan BBC. Keputusan ujian akan didedahkan dalam rancangan tersebut.
“Saya juga masih menyimpan gambar muka saya berlumuran darah dan mereka menjahit kepala saya yang luka. Kemudian saya menanduk bola berulang kali di tempat yang cedera.
“Untuk setiap gol yang saya jaringkan menerusi tandukan dalam perlawanan, saya perlu berlatih 1,000 kali. Itu meletakkan saya dalam risiko,” katanya lagi. – AGENSI