Tangkis Fitnah Siber Dalam Tempoh 4 Jam


KUALA LUMPUR  – Biro Teknologi Maklumat (IT) dan Media Sosial UMNO hanya mempunyai tempoh empat jam di alam maya untuk menangani fitnah siber yang dilemparkan terhadap parti itu.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, tempoh empat jam itu amat getir dan perlu digunakan sebaik mungkin untuk menerangkan kepada rakyat mengenai isu yang sedang hangat diperkatakan di media sosial mengenai kerajaan atau pemimpin parti.

“Kita kena pantas kerana kitaran berita media sosial bukan 12 jam kerana kita ada maksimum empat jam untuk beri maklum balas terhadap sesuatu isu.

“Tempoh untuk rakyat negara ini beri tumpuan terhadap sesuatu isu pendek, hari ini mereka kecam saya esok mereka kecam Datuk Mat pula (Ahmad Maslan).

“Kalau kita gagal tangani isu di media sosial dalam tempoh empat jam maka kita dikira gagal dalam peperangan di alam siber,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Media Sosial UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, antara isu yang hangat diperkatakan dan tular di media sosial pada ketika ini adalah gambar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memeluk individu dipercayai bekas pengawal peribadinya dari Unit Tindakan Khas (UTK) yang dikatakan ditamatkan perkhidmatan oleh kerajaan.

“Gambar ini dari tahun lepas yang tiada kena-mengena dengan UTK. Tetapi tiada siapa tanya gambar ini sumber mana malah gambar juga tidak ada tarikh.

“Berita palsu seperti ini mesti kita tunjuk sebagai contoh di mana kita harus kecam berita palsu sebegini,” katanya.

Dalam pada itu, pada konvensyen yang sama menerusi forum bertajuk Peranan Jentera Siber Dalam Menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14, Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata, pilihan raya umum akan datang bakal menjadi medan peperangan media sosial yang paling hebat dalam sejarah negara ini.

“Kita kena ambil pendekatan menyerang mulai sekarang, kita serang pembangkang dengan apa sahaja isu. Banyak isu boleh serang. Kita buat mereka penat untuk menjawab soalan dan kelam-kabut dengan serangan kita,” ujarnya.

Sumber: Utusan Online